
Laporan/Foto: Mohd Hafiz Jonidi (Sarawak)
MARUDI, 30 Apr (MalaysiaAktif) – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marudi telah mengambil inisiatif menganjurkan Kempen Derma Darah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menderma darah, sempena sambutan Hari Polis ke-218 tahun ini.

Sebahagian daripada penderma darah yang hadir menyokong kempen anjuran IPD Marudi semalam.
Program yang diadakan dengan kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Miri itu telah berlangsung di Dewan Suarah Marudi dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang semalam.
Kempen ini bertujuan menambah bekalan darah di bank darah, khususnya untuk keperluan hospital dan klinik di sekitar Bahagian Miri. Selain itu, ia juga menggalakkan amalan pendermaan darah secara berkala dan menyasarkan untuk menarik lebih ramai penderma baharu.

Nor Aizan menyampaikan sagu hati kepada salah seorang penderma darah.
Ketua Polis Daerah Marudi, Deputi Superintendan Nor Aizan Mohd Jamil berkata, sambutan menggalakkan yang diterima amat memberangsangkan dan berharap program seumpama ini dapat dijadikan acara tahunan.
“Saya berharap program ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat dan menyelamatkan lebih banyak nyawa. Saya juga menggalakkan penduduk Marudi untuk terus menyertai kempen seperti ini demi membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
-RJ-