
Laporan/foto: Nurul Ain Kamil/Shamsul Bahari Abdul Shukor
GEORGE TOWN, 30 Apr (MalaysiaAktif) – Jeti Chew, salah satu ikon warisan Pulau Pinang, menghiasi landskap pesisir pantai bandar George Town yang kaya dengan sejarah warisan budayanya sendiri.

Pelancong berkunjung ke kedai cenderamata yang ada di Jeti Chew
Perkampungan rumah kayu atas air ini terletak dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO, menjadi kediaman turun-temurun masyarakat Cina sejak abad ke-19.
Penduduk asal Jeti Chew berasal dari Kampung Xinglinshe, Daerah TongAn, Wilayah Quanzhou dan Fujian, China.
Kini ia kekal sebagai satu daripada tujuh jeti suku yang masih bertahan bersama Jeti Lee, Tan, Ong, Lim, Yeoh dan Jeti Baru.
Menurut Chan Kim Keat, 51, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jeti Klan, Jeti Chew menjadi tumpuan utama pelancong kerana mempunyai laluan terpanjang, rumah panggung terbanyak, tokong menarik serta satu-satunya jeti dengan kedai makanan dan cenderamata.

Terdapat seni mural Folklore by the sea menghiasi salah satu rumah penduduk
“Jeti yang berusia 118 tahun ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu zon komersial sepanjang 182 meter dan kawasan kediaman sejauh 122 meter dengan 76 buah rumah pelbagai gaya binaan.
“Walaupun semua rumah kini dilengkapi bekalan elektrik dan air, struktur asal daripada kayu tetap dikekalkan demi mematuhi syarat UNESCO,” katanya.
Chan turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri bersama sokongan tabung kuil penduduk giat menyalurkan dana bagi kerja-kerja pemuliharaan.
“Laluan asal jeti ini lebih kecil, tetapi dilebarkan bagi mengurangkan kesesakan pelancong dan atas faktor keselamatan.
“Setiap tahun ada sahaja insiden pelancong terjatuh ke laut kerana terlalu teruja bergambar,” ujar Chan.
Wartawan Malaysia Aktif menemui Chew Chin Chuan, 50, generasi ketiga penduduk jeti yang meneruskan legasi bapanya dengan mengusahakan kedai cenderamata.
“Kebanyakan anak muda kini berhijrah ke luar mencari kerjaya lebih baik, hanya segelintir golongan belia serta warga emas yang masih bekerja sebagai nelayan di sini,” katanya.
Sementara itu, Ooi Yee Tong, 25, pemilik kedai Zent and Art yang baru dibuka Januari lalu, menyatakan majoriti jualannya disumbangkan oleh pelancong luar, terutama dari Taiwan dan China ketika musim perayaan.
Ooi berharap promosi melalui platform digital mengenai Jeti Chew boleh dipergiatkan sekali gus dapat melonjakkan ekonomi penduduk tempatan.
“Kalau boleh, Jeti Chew disenaraikan dalam top 10 tempat wajib lawat di Pulau Pinang,” katanya.
Bagi penduduk asal di sini, tapak warisan ini perlu dipelihara bukan hanya untuk menarik pelancong, tetapi juga agar generasi akan datang dapat memahami sejarah dan keunikan Pulau Pinang.
-AA-