
Laporan/foto: Mohd Fauzan Mahari
PASIR PUTEH, 25 Apr (MalaysiaAktif) – Terletak di Selising, Jeram Mengaji kini muncul sebagai salah satu destinasi ekopelancongan baharu yang semakin mendapat perhatian di Kelantan, khususnya dalam kalangan pencinta alam dan pengunjung yang mencari pengalaman santai bersama keluarga.

Keindahan serta kejernihan air terjun semulajadi di Jeram Mengaji memberi kepuasan kepada pengunjung
Dikenali dengan keindahan air terjun dan kawasan sungai yang jernih serta menyegarkan, Jeram Mengaji turut menyediakan pelbagai aktiviti lasak seperti flying fox dan ATV, menjadikannya lokasi ideal untuk mereka yang gemarkan cabaran di tengah keindahan alam semula jadi.

Pengunjung datang melihat penternakan lembu susu yang terdapat di Agro Resort Jeram Mengaji
Menambah keistimewaan destinasi ini, kawasan tersebut turut menempatkan pusat pemeliharaan lembu tenusu yang menghasilkan pelbagai minuman berasaskan susu lembu segar dan berperisa.
Elemen ini bukan sahaja memperkaya pengalaman pelancong, malah meletakkan Jeram Mengaji sebagai tapak agro-pelancongan yang unik di negeri Kelantan.
Menurut pengunjung yang ditemui, Jeram Mengaji bukan sekadar menawarkan pemandangan dan suasana yang mendamaikan, malah sesuai untuk lawatan santai seisi keluarga, terutama pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.
“Inilah tempat terbaik untuk bawa anak-anak mengenali alam dan haiwan ternakan, sambil menikmati aktiviti luar yang menyeronokkan. Produk susu lembu mereka pun sangat sedap dan segar,” ujar salah seorang pelawat yang hadir bersama keluarganya pada Sabtu.
Pihak pengurusan Jeram Mengaji dilaporkan sedang giat menambah baik kemudahan asas serta aspek keselamatan bagi memastikan keselesaan dan kepuasan pengunjung terjamin, seiring dengan hasrat untuk merancakkan sektor pelancongan desa di daerah Pasir Puteh.
Dengan gabungan elemen rekreasi, pengembaraan dan pendidikan agro, Jeram Mengaji diyakini berpotensi untuk terus berkembang sebagai salah satu destinasi ekopelancongan utama di Kelantan, setanding dengan lokasi-lokasi terkenal lain di rantau ini.
-AA-