Skip to main content
Berita TimurBerita TempatanKelantan

JIWA@Komuniti MADANI Perkukuh Hubungan Kerajaan dan Rakyat

By 18 April 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohamad Sanusi Hassan

TUMPAT, 18 Apr (MalaysiaAktif) – Pendekatan komunikasi bersemuka yang diketengahkan menerusi Program JIWA@Komuniti MADANI berjaya memperkukuhkan penyampaian maklumat kerajaan secara terus kepada masyarakat khususnya di kawasan luar bandar.

Hashim Mohamad berucap dalam Program JIWA@Komuniti MADANI di Tumpat, tekankan peranan komuniti dalam sampaikan maklumat dan kukuhkan perpaduan.

Program anjuran Komuniti MADANI Simpangan dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JPKKP) Tebing ini telah berlangsung di Mukim Tebing, di sini dengan sambutan yang menggalakkan daripada penduduk setempat.

Pengerusi JPKKP Mukim Tebing Zabidi Wahab, menyifatkan program ini sebagai satu pendekatan berkesan dalam memperjelas dasar-dasar kerajaan kepada rakyat.

“Program seperti ini membantu membina kepercayaan antara kerajaan dan masyarakat. Maklumat yang disampaikan secara telus dan mudah difahami lebih memberi kesan kepada rakyat,” ujarnya.

Ketua Komuniti MADANI Simpangan Abdullah Yusof turut menekankan kepentingan menyampaikan maklumat yang sahih dan terkini secara langsung kepada komuniti.

“Program sebegini memberi ruang kepada rakyat untuk mendapat penerangan yang jelas tanpa kekeliruan,” katanya.

Suasana meriah Program JIWA@Komuniti MADANI di Mukim Tebing, Tumpat dengan kehadiran penduduk setempat yang turut serta dalam sesi perkongsian maklumat dan libat urus bersama agensi kerajaan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Cawangan Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Hashim Mohamad yang hadir mewakili Pengarah Penerangan Negeri Kelantan, menyeru agar Ketua Komuniti MADANI dan ahli jawatankuasa memainkan peranan lebih proaktif dalam memperkasa komunikasi masyarakat.

“Mereka perlu celik digital, manfaatkan kemudahan di Pusat NADI serta galakkan penganjuran program kemasyarakatan untuk memupuk semangat perpaduan dan cinta negara,” katanya dalam ucapan penutup.

Program JIWA@Komuniti MADANI dilihat bukan sahaja sebagai saluran penyampaian maklumat, tetapi juga sebagai jambatan yang merapatkan jurang antara kerajaan dan rakyat, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.

-ZS-

Tinggalkan komen anda