
Laporan/foto: Mastura Mohamed Rowther/Shamsul Bahari Abd Shukor
PERMATANG PAUH, 28 Apr (MalaysiaAktif) – Muhammad Azrie Irfan Izman, 18, pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dari Sekolah Menengah Taman Sejahtera, dinobatkan sebagai juara kategori Khas dalam Pertandingan Karaoke sempena Karnival Kita MADANI Peringkat Negeri Pulau Pinang.

Penyampaian hadiah disampaikan oleh Hasmiza Hussin Pengarah JAPEN Pulau Pinang.
Pertandingan yang berlangsung di perkarangan Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah itu bukan sekadar pentas hiburan, malah menjadi wadah penting untuk pelajar-pelajar PPKI menyerlahkan bakat seni mereka.
Selain mengasah minat terhadap muzik aktiviti ini turut memainkan peranan besar untuk membina keyakinan diri serta menonjolkan potensi dan kebolehan dalam kalangan peserta.
Sementara itu ibu kepada Muhammad Azrie, Zuraidah Ismail, 52, melahirkan rasa syukur dan berharap agar inisiatif seperti ini diteruskan demi mencungkil lebih banyak bakat dalam kalangan komuniti orang kelainan upaya (OKU).
“Program sebegini bukan sahaja memberi kesan positif kepada pembangunan diri anak-anak istimewa, malah menjadi platform untuk mereka berani menonjolkan kelebihan yang dimiliki,” ujarnya kelmarin.
-ZS-