Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Kasut Rosak, Sumber Rezeki Doktor Kasut

By 2 hari yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto :AgKu Marzuki Bin Ag Latip (Tawau)

TAWAU, 10 Apr (MalaysiaAktif) – “Kami macam doktor juga, tapi doktor kasut,” ujar Majid Said yang telah mengabdikan lebih dua dekad hidupnya sebagai penjahit kasut di Taman Sabindo, Tawau.

Majid tersenyum mesra ketika sedang menjahit kasut di bawah teduhan pokok besar di tepi jalan.

Bermula sebagai hobi, Majid yang kini berusia 62, menjadi antara tukang kasut yang masih bertahan menyediakan khidmat membaiki kasut pelanggan dengan harga yang berpatutan.

Jelasnya, sebagai tukang kasut, menerima kasut kotor, koyak teruk atau bertapak keras adalah perkara biasa, tetapi seperti seorang doktor, walau dalam keadaan apa pun, beliau tetap berusaha untuk memulihkan kasut pelanggan.

“Kadang-kadang tiada kasut langsung diterima dalam sehari, tetapi saya reda, dulu ramai hantar kasut untuk dibaiki, sekarang ramai beli baru, bagaimanapun selepas Aidilfitri, permintaan untuk khidmat membaiki kasut naik semula.

“Kasut yang lebih kompleks seperti kasut askar dan keselamatan memerlukan masa yang lebih lama dan kerja yang lebih teliti, kasut askar, kawad dan keselamatan mengambil masa lebih sejam untuk dibaiki dan biasanya dicaj sekitar RM25, manakala selipar wanita boleh siap lebih cepat dengan kadar bermula RM8,” katanya ketika ditemui di pekan Tawau di sini pada Rabu.

Bapa tunggal kepada lapan anak ini berkata, bekerja sebagai tukang kasut memberikannya lebih banyak masa untuk bersama keluarga dan mencari rezeki dengan masa yang lebih fleksibel.

“Saya telah meninggalkan kerja dalam sektor pemprosesan ikan lebih 20 tahun lalu dan memilih bidang ini sebagai punca rezeki utama, saya bebas menguruskan masa dan tidak terikat dengan bebanan kerja berat, yang memberi saya lebih banyak masa bersama keluarga.

Andul tekun membaiki kasut pelanggan di bawah teduhan payung kecil.

“Kalau premis kecil saya ini akan mula dibuka seawal jam 9 pagi setiap hari, dan hasil pendapatan harian saya juga bergantung kepada jumlah kasut yang diterima untuk dibaiki,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi penjahit kasut, Andul Ogen, 63, turut setia dengan kerjaya ini sejak tahun 2010.

“Saya di sini bukan sahaja menjahit, malah turut menampal dan mengilat kasut menggunakan kain terpakai. Kerja ini ringan, sesuai dengan usia saya, kasut sukan koyak teruk perlukan tampalan tambahan, tapi saya puas hati bila pelanggan senyum lihat hasilnya,” katanya.

-RJ-

 

Tinggalkan komen anda