
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor Bahru)
KULAI, 26 Apr (MalaysiaAktif) – Kempen Internet Selamat (KIS) anjuran Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus diperluas ke negeri Johor.

Guru Bahasa Melayu SJKC Kulai Besar, Lim Ming Wei dilantik sebagai Ikon Internet Selamat di sekolahnya.
Sekolah Kebangsaan (LKTP) Bukit Permai dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kulai Besar menjadi dua buah sekolah terawal pelaksanaan KIS di Johor bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan keselamatan dalam talian dalam melindungi masyarakat daripada ancaman siber.
Ikon Internet Selamat Muhammad Hadi Bukhari Sobri yang juga seorang guru di SK (LKTP) Bukit Permai, berkata menerusi inisiatif ini, guru-guru dibekalkan dengan modul yang mengandungi bahan-bahan video, slaid taklimat dan infografik mengenai tip keselamatan dalam talian untuk sesi perbincangan dalam kelas bersama murid-murid.
“Saya juga menggalakkan murid-murid saya untuk berkongsi pengalaman mereka ketika menggunakan media sosial dan saya kaitkan dengan tip keselamatan yang terkandung dalam modul Kempen Internet Selamat agar mereka lebih bertanggungjawab ketika melayari Internet dengan selamat,” katanya, di sini semalam.
Seorang lagi Ikon Internet Selamat di SJKC Kulai Besar Lim Ming Wei, berkata golongan pendidik perlu menyambut baik inisiatif ini kerana ia memberi pendedahan yang sangat penting mengenai keselamatan siber terutamanya dalam kalangan pelajar.
“Sebagai seorang pendidik juga perlulah sentiasa menunjukkan amalan yang baik ketika menggunakan platform media sosial dengan menghindari hantaran yang negatif yang mampu mengganggu kesejahteraan awam,” katanya.

Pelajar-pelajar SK (LKTP) Bukit Permai mendengar taklimat dari petugas MCMC mengenai had umur penggunaan media sosial, risiko buli siber dan eksploitasi seksual dalam talian.
Dalam pada itu, Pengarah MCMC Negeri Johor Nurzie Ibrahim telah menyempurnakan majlis peluncuran Kempen Internet Selamat di SK (LKTP) Bukit Permai dengan menyerahkan modul khas inisiatif tersebut dan menyaksikan pelantikan Ikon Internet Selamat dalam kalangan guru dan murid sekolah.
Turut hadir, Guru Besar SK (LKTP) Bukit Permai Mohd Sukor Marzuki.
-ZS-