
Laporan/foto: Norfazila Razali
KUALA LUMPUR, 30 Apr (MalaysiaAktif) – Kerajaan Perpaduan terus komited dalam menyediakan kediaman mampu milik kepada rakyat apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Rumah Belia MADANI dan Rumah Mampu Milik di Padang Bola Sepak Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, di sini semalam.
Projek ini merupakan kerjasama antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan syarikat pemaju BMG Global Sdn. Bhd., yang bertujuan membina lebih 3,000 unit kediaman bagi golongan belia dan berpendapatan sederhana.

Anwar bersama barisan kepimpinan KPKT dan pemaju BMG Global Sdn. Bhd. menyempurnakan simbolik pecah tanah Projek Rumah Belia MADANI dan Rumah Mampu Milik di Mukim Batu, Kuala Lumpur.
Perdana Menteri, berkata projek ini bukan sekadar pembinaan fizikal, tetapi simbol komitmen kerajaan dalam membina masa depan yang lebih baik untuk rakyat.
“Kerajaan Perpaduan melalui KPKT dan BMG Global bukan sekadar membina bangunan.
“Kita membina harapan, membina komuniti dan membina masa depan yang lebih sejahtera untuk generasi akan datang,” ujarnya.
Projek tersebut dirancang dengan pelbagai kemudahan menyeluruh termasuk taman rekreasi, ruang niaga, masjid, laluan pejalan kaki hijau serta kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU).

Model projek Starloft Residence yang dipamerkan sempena Majlis Pecah Tanah yang bakal menyediakan kediaman moden dan lengkap dengan pelbagai kemudahan.
Reka bentuk moden dan elemen lestari turut diterapkan bagi menyokong agenda pembangunan mampan kerajaan.
Menurut kenyataan dari pihak BMG Group, projek ini dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2028 dan bakal memberi akses pemilikan rumah yang lebih adil kepada golongan sasar di lokasi strategik dalam bandar raya.
Majlis diakhiri dengan sesi menandatangani plak peringatan oleh Perdana Menteri disusuli lawatan ke tapak projek.
Turut hadir Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif dan Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran.
-ZS-