
Laporan/foto: Norliza Yusof (Penampang)
PENAMPANG, 28 Apr (MalaysiaAktif) – Walaupun Syawal hampir melabuhkan tirai, Program Jiwa@Komuniti MADANI sempena Aidilfitri anjuran bersama Komuniti MADANI Kampung Moyog dan Kampung Nagasiba tetap berlangsung meriah dengan penyertaan pelbagai kaum.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kapayan, Cyril Liew berkata, program seumpama ini penting dalam memperkukuh keharmonian komuniti tanpa mengira bangsa dan agama.

Suasana meriah dan penuh perpaduan, dengan pelbagai kaum bersama-sama meraikan Aidilfitri dalam semangat hormat-menghormati.
“Selain menjamu selera dan meraikan Hari Raya dengan penuh kemeriahan, program ini turut menjadi medium komunikasi serta penyampaian maklumat berkaitan inisiatif kerajaan kepada masyarakat.
“Diharap program sebegini diteruskan dari semasa ke semasa bagi menyokong aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk,” katanya semasa merasmikan majlis di Dewan Koidupan, Sabtu lalu.
Pengerusi Komuniti MADANI Kampung Nagasiba, Kennedy Chang pula menyatakan bahawa meskipun komuniti ini terdiri daripada pelbagai bangsa, mereka bersatu atas dasar nilai kemanusiaan, hormat-menghormati dan kesejahteraan bersama.

Sesi penyerahan duit raya kepada kanak-kanak yang disampaikan oleh Setiausaha SCORE, Jenny J (tengah).
“Nilai-nilai tersebut jelas terpancar dalam program hari ini, yang turut diserikan dengan kehadiran pemimpin masyarakat serta rakan strategik,” ujarnya.
Lebih 120 ahli Komuniti MADANI hadir memeriahkan program yang mendapat kerjasama Persatuan Komposer dan Pembikin Video Muzik Sabah (SCORE), Persatuan Anak Rantau Australia dan Linah Enterprise.
Antara pengisian program ialah taklimat Sumbangan Asas Rahmah (SARA) oleh Pengerusi Komuniti MADANI Kampung Moyog, Ricky Chang, di samping pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan nyanyian, cabutan bertuah, penyerahan kuih raya dan kek oleh Linah Enterprise, serta sumbangan duit raya kepada kanak-kanak.
-RJ-