
Laporan/foto: Nurul Ain Kamil/Shamsul Bahari Abdul Shukor
BUTTERWORTH, 18 Apr (MalaysiaAktif) – Ziarah kasih Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, di sambut penuh rasa syukur oleh para penerima bantuan, termasuk Renugadevi Panjacharam, 52, seorang ibu tunggal yang menghidap strok akibat tekanan darah tinggi sejak Mac lalu.

Wan Ahmad Dahlan (kiri) bertanyakan khabar kepada Regunadevi Panjacharam yang mengalami strok
Beliau sebelum ini bertugas sebagai pengawal keselamatan dan pekerja pembersihan di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Mak Mandin.
“Saya tidak lagi bekerja kerana keadaan kesihatan, anak lelaki saya terpaksa berhenti kerja di Kuala Lumpur untuk menjaga saya manakala anak perempuan saya pula sedang menunggu keputusan SPM,” ujar Renugadevi yang berharap dapat menerima bantuan bulanan daripada JKM bagi menampung keperluan harian.

Wan Ahmad Dahlan menyampaikan sumbangan kepada pesara guru, Azimah Bakar yang mengalami strok
Seorang lagi penerima bantuan, Azimah Bakar, 55, pesara guru yang sebelum ini berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Tanah Liat, turut menzahirkan rasa terharu dengan kehadiran KPPA ke kediamannya.
“Saya sangat terharu dan tidak sangka akan dikunjungi oleh Ketua Pengarah sendiri,” katanya yang bersara atas faktor kesihatan setelah disahkan mengalami strok.
Kesemua penerima bantuan menerima sumbangan tunai dan barangan keperluan daripada ICU, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Terdahulu, Wan Ahmad Dahlan menghadiri Program Bitara Intan – Bicara Aspirasi H.E.M.A.T: Aspirasi Menuju Reformasi yang berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth yang dihadiri lebih 1,500 penjawat awam dari Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak.
-AA-