
Laporan/foto: Amat Satem Timun (Kuala Langat)
KUALA LANGAT, 30 Apr (MalaysiaAktif) – Komuniti bukan Islam di daerah ini bakal menikmati kemudahan krematorium atau tempat membakar mayat moden yang dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun 2026.

Ng Sze Han ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Krematorium Moden Kuala Langat yang berlangsung di Quayside Mall.
Pengerusi Bersama Jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam (LIMAS) Ng Sze Han, berkata projek di atas tanah seluas satu ekar itu akan dilengkapi tiga unit tempat pembakaran berteknologi moden serta pelbagai kemudahan sokongan demi keselesaan pengguna.
“Krematorium ini akan menyediakan kemudahan seperti tempat parkir (tempat meletak kenderaan), pejabat pentadbiran dan ruangan upacara bagi melancarkan pengurusan majlis pengebumian,” katanya dalam sidang media semasa Majlis Pecah Tanah Pembinaan Krematorium Moden Kuala Langat yang berlangsung di Quayside Mall, di sini semalam.
Tambah beliau, projek ini telah lama dirancang dan pembinaannya kini menepati keperluan masyarakat setempat.

Simbolik pecah tanah pembinaan krematorium.
“Langkah ini membuktikan bahawa Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) sentiasa cakna dan prihatin terhadap keperluan rakyat tanpa mengira latar belakang,” ujarnya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Borhan Aman Shah, ketua-ketua jabatan kerajaan serta Ahli-Ahli Majlis Perbandaran Kuala Langat.
-ZS-