
Laporan /foto: Norshazila Ahmad (Selangor)
SEKINCHAN, 7 Apr (MalaysiaAktif) – Dari luar nampak macam rumah kayu biasa tetapi bila melangkah masuk ke Rumah Ah Ma di Jalan Tali Air 5, Pekan Sekinchan, pengunjung seolah-olah dibawa balik ke tahun 70-an.
Rumah yang diinspirasikan daripada rumah nenek pasangan suami isteri Ng Joo Leong dan Kwi Ai Fang kini mendapat sambutan yang menggalakkan dari pengunjung dari dalam dan luar negara.

Kuih kapit tarikan utama di Rumah Ah Ma.
“Istimewanya di sini, pengunjung berpeluang untuk melihat sendiri proses membuat kuih kapit tradisional, pengalaman yang makin jarang dapat dilihat hari ini,” ujar Kwi.
Ketika ditanya rahsia kesedapan kuih kapit itu, Kwi berkata, selain dibakar menggunakan arang bagi menambahkan lagi aromanya, ia turut menggunakan santan pekat yang diperah sendiri.
“Resipi asli kuih kapit tradisional nenek saya juga mengikut cita rasa tempatan yang hanya menggunakan empat bahan asas sahaja iaitu santan pekat, gula, tepung dan telur,” ujarnya yang ditemui di Rumah Ah Ma, di sini semalam.
Menurut Kwi, beliau juga suka mengumpul barangan lama dan antik.
“Oleh itu saya gabungkan konsep ini dengan mencipta sebuah tempat yang penuh nostalgia ini.
“Tujuan saya bina tempat ini adalah untuk menghidupkan semula kenangan zaman kanak-kanak kami yang dibesarkan dengan kuih kapit buatan nenek serta memberi pendedahan kepada generasi kini,” katanya.
Rumah Ah Ma turut mempamerkan pelbagai barangan klasik seperti televisyen lama, radio lama, perabot lama, dan pinggan dengan reka bentuk kuno.
Di samping itu, pengunjung juga boleh berpeluang membeli makanan ringan yang pastinya mengimbau kenangan bagi mereka yang dilahirkan pada tahun 70-an hingga 90-an.

Kwi (Kanan) bersama pekerjanya menunjukkan cara membuat kuih kapit yang dibakar secara tradisional menggunakan arang.
Bagi pengunjung Nur Nadzirah Mohamad Nasir, 26, yang datang dari Perak teruja melihat pelbagai koleksi lama di sini yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
“Yang paling saya suka bahagian jualan makanan ringan, dapat jumpa balik gula-gula ‘lekit’ dan snek zaman sekolah rendah, memang mengimbau kenangan,” katanya.
Kalau anda rindukan zaman dulu-dulu, atau ingin menikmati kuih kapit tradisi, Rumah Ah Ma patut ada dalam senarai kunjungan anda sekiranya berada di Sekinchan.
-ZS-