Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/ (Tawau)
TAWAU, 14 Apr (MalaysiaAktif)– Lebih dua tahun sejak diperkenalkan pada Januari 2023, Jualan Rahmah Bergerak disifatkan berjaya mengekalkan prestasi sebagai program yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh rakyat.
Tidak hanya berpusat di kawasan bandar, jualan barangan bersubsidi ini diperluaskan di kawasan pedalaman sebagai usaha meringankan beban masayarakat terutama dari sudut kos logistik dan pengangkutan.

Orang ramai mengunjungi Jualan Rahmah Bergerak bagi mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan.
Bagi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kongsi, Nasip Selamat, 64, Jualan Rahmah adalah peluang kepada rakyat berpendapatan rendah untuk berbelanja keperluan asas secara berhemat.
“Jualan Rahmah bergerak ini sangat bermanfaat kepada penduduk kampung, khususnya golongan berpendapatan rendah yang bergelut dengan peningkatan kos sara hidup dan mereka menawarkan pelbagai barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan ayam pada harga subsidi.
“Saya amat menghargai program seperti ini, terutamanya dalam keadaan ekonomi yang mencabar dan harga yang lebih murah, penduduk dapat membeli barangan keperluan untuk keluarga tanpa rasa tertekan,” katanya ketika ditemui semasa program tersebut di Kampung Kongsi, Tawau di sini kelmarin.

Mazuin (baju hitam) bersama penduduk setempat gembira mendapatkan barangan keperluan pada program Jualan Rahmah Bergerak di sini kelmarin.
Seorang lagi penduduk, Mazuin Misilan, 43, percaya ramai rakyat yang tiada pendapatan tetap atau bergaji hari merasai manfaat daripada Program Jualan Rahmah terutama Ketua Isi Rumah (KIR).
“Program ini adalah satu inisiatif kerajaan yang amat bermakna kepada komuniti setempat, sebagai rakyat saya sangat berterima kasih kerana program ini memudahkan kami membeli barang keperluan dengan harga yang lebih berpatutan.
“Sebagai ketua keluarga, mengurus perbelanjaan adalah satu hal yang penting dengan kos hidup yang tidak menentu, program ini dapat dilihat sebagai jalan keluar terutama bagi mereka yang bergantung kepada pendapatan yang tidak tetap,” ujarnya.
-RJ-