
Laporan/foto: Faizzad Kamal (Batang Padang)/Mohammad Ezwandi (Perak)
TAPAH, 25 Apr (MalaysiaAktif) – Menelusuri jalan kampung pada waktu yang sunyi sambil ditemani bunyi unggas hutan dengan menunggang kuda menaiki kereta kuda yang ditarik oleh kuda padi menjadi pengalaman istimewa di MAE Horse Stable di Kampung Padang, Batu Masjid, Temoh, di sini.
Menurut pemiliknya Zulhilmi Azim bin Jaluddin, 29, MAE Horse Stable beroperasi setiap hari dari pukul 9.00 pagi hingga 6.00 petang, tanpa cuti dan telah menerima sambutan hangat termasuk tempahan sejauh Pulau Pinang.

Kandang yang menghimpunkan 13 ekor kuda.
Memiliki 13 ekor kuda dan lima buah kereta kuda yang setiap satu mampu memuatkan sehingga enam orang penumpang dewasa.
“Saya telah berjinak-jinak dalam dunia pemeliharaan kuda sejak 11 tahun lalu,” katanya.
Tambahnya, kuda-kuda di sini diberikan penjagaan rapi, termasuk pemakanan yang teratur antara empat hingga lima kali sehari, melibatkan palet khas dan rumput yang diimport dari luar negara.
“Setiap sesi mengambil masa sekitar 40 minit dengan laluan yang menawarkan ketenangan alam dan nostalgia suasana desa,” ujarnya ketika ditemui kelmarin.
Pengunjung Mazizul Dani, 28, sangat teruja apabila mendapat tahu terdapat perkhidmatan manaiki kereta kuda di Temoh.
“Ini kali pertama saya naik kuda dan pengalaman ini sangat menyeronokkan serta berbeza daripada aktiviti riadah biasa,” katanya.
-ZS-