
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 21 Apr (MalaysiaAktif) – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan memperuntukkan RM39 juta untuk Skim Bantuan Sara Hidup pada tahun ini.
Menurut Pengerusinya, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer MAIWP setiap bulan telah mengagihkan Bantuan Sara Hidup berjumlah antara RM500 hingga RM1,000 setiap bulan yang dimasukkan terus ke akaun bank golongan asnaf.

Sekitar 5,000 orang warga Labuan memeriahkan Majlis Tautan Kasih Aidilfitri Madani 2025.
“Manakala jumlah peruntukkan bagi Bantuan Keperluan Barangan Asasi pada tahun ini adalah sebanyak RM 19.8 juta dan MAIWP ingin melihat bantuan zakat yang disalurkan memberi impak yang besar kepada penerimanya,” katanya dalam Majlis Tautan Kasih Aidilfitri Madani 2025 MAIWP Labuan di sini pagi semalam.
Tambahnya, MAIWP telah merangka program pembangunan asnaf bagi mengasah dan menonjolkan potensi mereka.
“MAIWP tidak ingin mereka selamanya bergantung kepada bantuan zakat semata-mata sebaliknya pada satu masa nanti mereka pula yang akan membantu dengan menjadi pembayar zakat.
“Begitu juga dalam program pendidikan, para pelajar yang dahulunya menerima bantuan kini telah bekerja dalam profesion yang boleh dibanggakan dan lebih bermakna, apabila mereka pula menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

Syed Kamarulzaman (kiri) menyampaikan duit raya kepada sebahagian anak-anak asnaf yang hadir.
Pada majlis itu, Syed Kamarulzaman turut menyampaikan cek cura peruntukan Bantuan Sara Hidup sepanjang tahun 2025 dan cek cura Bantuan Keperluan Barangan Asasi bagi tahun 2025 yang disalurkan kepada lebih 6,000 orang penerima di Wilayah Persekutuan Labuan pada setiap bulan.
Lebih 5,000 jemputan yang terdiri daripada asnaf bersama keluarga, ketua-ketua jabatan, pemimpin masyarakat, syarikat pembayar zakat serta masyarakat setempat memeriahkan majlis tersebut.
-ZS-