Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Majlis Adat Tidung Pitas Sambut Aidilfitri, Lestarikan Warisan Budaya

By 2 hari yang lalu12 seconds yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurhamisa Rapi (Pitas)

PITAS, 21 Apr (MalaysiaAktif) – Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Pitas tahun ini berlangsung lebih bermakna dengan penganjuran Majlis Adat Tidung Zon Pitas yang menghimpunkan masyarakat Tidung dari pelbagai pelusuk daerah dalam satu acara penuh adat dan budaya.

Ruddy merasmikan Majlis Adat Tidung Zon Pitas dengan memukul gong sebagai simbolik pelancaran kelmarin.

Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Seri Dr. Ruddy Awah, berkata acara ini memberi peluang kepada masyarakat Tidung untuk terus melestarikan warisan budaya mereka dan memperkenalkan identiti bangsa Tidung kepada generasi masa kini dan akan datang.

“Setiap kaum di Sabah wajar diberi ruang dan pengiktirafan yang sewajarnya agar warisan budaya mereka terus dihargai dan tidak dilupakan,” katanya semasa merasmikan majlis tersebut pada Sabtu.

Beliau juga menegaskan bahawa bangsa Tidung mempunyai warisan budaya yang unik, dan majlis seperti ini adalah langkah yang tepat untuk memastikan budaya dan adat mereka terus dikenali oleh generasi akan datang.

Mewakili Majlis Adat Tidung Sabah (MATS), Bentara Adat Tidung Negeri Sabah, Abdul Muluk Abdul Sani, menjelaskan bahawa MATS akan terus komited untuk memartabatkan kebudayaan dan tradisi bangsa Tidung dengan penglibatan lebih ramai masyarakat Tidung di seluruh Sabah.

Abdul Muluk menyampaikan ucapan penuh semangat mewakili Majlis Adat Tidung Sabah (MATS).

“Visi kami adalah ‘Memartabatkan Bangsa Tidung Negeri’ dan misi kami adalah melibatkan 100% individu berdarah Tidung di seluruh Sabah,” katanya.

Seorang Ahli Jawatankuasa penganjur, Mohd Rafie Pali, berkata program tersebut adalah detik bersejarah bagi masyarakat Tidung di Pitas kerana buat pertama kalinya mereka dapat berkumpul dalam skala besar untuk mengangkat budaya dan identiti mereka secara rasmi.

“Majlis ini memberi peluang kepada masyarakat luar untuk mengenali lebih dekat adat dan seni budaya Tidung yang selama ini kurang ditonjolkan di peringkat daerah,” tambah beliau.

Majlis yang bertemakan ‘Tidung Bais, Bais, Bais, PANTAS!’ ini diserikan dengan persembahan kebudayaan, busana tradisional serta jamuan Aidilfitri.

-RJ-

Tinggalkan komen anda