
Laporan/Foto : Kamarulzaman Ahmad (Sarawak)
Dalat, 14 Apr (MalaysiaAktif)– Suasana penuh kemesraan dan semangat muhibah terpancar dalam Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Dalat/Oya yang telah berlangsung di Dewan Pemanca Albert Kiroh, Kampung Tengah/Hilir di sini.

Fatimah berharap supaya majlis sebegini dapat diteruskan bagi mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat.
Majlis tersebut diadakan bagi meraikan bulan Syawal sambil mengukuhkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat pelbagai latar belakang.
Pengerusi PERKIM Cawangan Dalat/Oya, Fatimah Ramli, 58, berkata beliau berasa bersyukur atas kehadiran komuniti yang sentiasa bersatu hati dalam menjayakan program-program kebajikan dan kemasyarakatan.
“Majlis seumpama ini sangat penting dalam memupuk semangat perpaduan dan nilai toleransi dalam kalangan penduduk setempat dan berharap agar sambutan seperti ini dapat diteruskan sebagai salah satu platform untuk merapatkan jurang antara masyarakat tanpa mengira kaum, usia mahupun latar belakang,” katanya semalam.

Suasanan sekitar Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri anjuran PERKIM di sini semalam.
Antara pengisian menarik sepanjang majlis berlangsung termasuklah persembahan karaoke oleh penduduk tempatan serta acara cabutan bertuah yang menambahkan keceriaan dan kemeriahan suasana.
Program tersebut turut menyediakan jamuan raya dengan pelbagai juadah tradisional yang menjadi simbol perpaduan dan perkongsian budaya.
-RJ-