Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Masyarakat Orang Asli Sentiasa di Hati: 68 Asnaf KOA Sungai Kucing Terima Sumbangan

By 23 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Azrul Azham (Jerantut)

JERANTUT, 15 Apr (MalaysiaAktif) – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli untuk menyampaikan sendiri bantuan sumbangan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kepada 68 orang asnaf daripada masyarakat Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Kucing, Ulu Tembeling, di sini semalam.

Tuanku Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang menaiki bot untuk lawatan ke Rizah Harimau Diraja Al Sultan Abdullah.

Turut berangkat Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang dan Kebawah Duli Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang yang bersama-sama menyantuni kira-kira 300 penduduk dalam majlis yang menzahirkan keprihatinan baginda terhadap kesejahteraan masyarakat Orang Asli di negeri ini.

Terlebih dahulu, baginda dan rombongan telah mengadakan lawatan dengan menaiki bot ke kawasan Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah.

Baginda bertitah, projek usahasama di antara Kerajaan Negeri Pahang dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan kerjasama Taman Negeri serta kendalian Enggang Management Services, merupakan satu langkah penting dalam usaha pemuliharaan alam sekitar.

Pengurniaan sumbangan kepada asnaf.

Titah baginda lagi, inisiatif ini yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara diharap dapat membawa manfaat besar kepada penduduk tempatan khususnya di Kampung Sungai Kucing, terutamanya melalui peluang pekerjaan sebagai renjer hutan.

“Penduduk tempatan merupakan individu yang paling mahir dan arif mengenai selok-belok hutan ini.

“Dengan kehadiran mereka sebagai barisan hadapan dalam penjagaan hutan, beta berharap aktiviti pencerobohan hutan dan pemburuan haram dapat dihentikan sepenuhnya,” titah baginda.

-ZS-

Tinggalkan komen anda