
Laporan/foto: Mazlan Bakar (Nabawan)
NABAWAN, 14 Apr (MalaysiaAktif) – Bencana banjir yang berlaku pada Jumaat lalu memberi kesan kepada 30 buah kampung di sekitar Daerah Nabawan sekali gus memberi kesan psikologi kepada mangsa yang terlibat.
Justeru, pasukan Mental Health and Psychosocial Support (MHPSS) Klinik Kesihatan (KK) Nabawan mengambil inisiatif turun ke setiap Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk meninjau tahap kesihatan mangsa.
Pegawai Psikologi KK Nabawan, Liziah Dari berkata, tujuan utama sesi pemantauan ini adalah untuk mengenal pasti tahap kesihatan mental serta memberi sokongan emosi dan mengelakkan berlakunya trauma terhadap penghuni PPS.

Liziah mendengar luahan mangsa banjir di PPS Dewan Serba guna Nabawan di sini semalam.
“Memandangkan bencana banjir pada kali ini adalah pengalaman pertama mereka, sudah pasti mangsa akan mengalami stres, takut dan risau. Peranan kami di sini adalah sebagai pendengar kepada luahan perasaan dan emosi mereka.
“Pada sesi ini juga kami akan memberi pendidikan psikologi bagaimana menguruskan stres dengan betul.
“Seperti mana yang kita tahu impak daripada bencana ini amatlah besar kepada psikologi mangsa itu sendiri dan adalah penting bagi mereka untuk mengetahui cara menguruskan emosi dengan baik,” katanya ketika ditemui di PPS Dewan Serba guna Nabawan di sini semalam.
Dalam pada itu, beliau menasihati mangsa dan petugas PPS melaksanakan langkah intervensi awal melalui bantuan psikologi bagi membantu menangani masalah kesihatan mental dengan lebih efektif dan efisien terutama ketika bencana.
“Rasa penat sudah semestinya akan dirasai bukan sahaja oleh mangsa bahkan petugas yang sudah pastinya lelah dalam memberi perkhidmatan terbaik samada di PPS bahkan di tempat kejadian, rasa penat akan menganggu emosi dan mental seterusnya jika tidak dikawal akan menjurus kepada kemurungan.
“Kami juga mengedarkan kad amaran kesihatan mental dan panduan penjagaan mental untuk memudahkan mangsa mengenal pasti tanda tanda awal sekiranya mereka mengalami tekanan emosi dan mental.

Liziah (kanan) dan Maria (kiri) mengedarkan kad amaran kesihatan mental kepada mangsa di PPS Dewan Kg Bahagia, Nabawan.
“Setakat ini hasil pemantauan di enam buah PPS daripada pasukan kami mendapati emosi mereka yang terlibat masih terkawal dan stabil. Secara keseluruhannya kebanyakan mangsa mengadu berasa letih dan takut memandangkan ianya merupakan pengalaman pertama mereka berhadapan dengan situasi banjir sebegini,” ujarnya.
Sementara itu, Jurupulih Perubatan Carakerja KK Nabawan, Maria Magdhelynah Abdon menyeru agar merujuk kepada pusat kesihatan jika mengalami simptom gangguan psikologi.
“Keluarga dan komuniti setempat perlu memainkan peranan masing masing dalam membantu keluarga atau rakan yang mempunyai simptom awal masalah kesihatan mental dan emosi untuk mendapat rawatan dan bantuan segera daripada pakar perubatan keluarga atau pegawai psikologi di KK Nabawan.
“Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi Talian HEAL 15555 untuk mendapatkan sokongan emosi dan khidmat kaunseling,” jelasnya.
Untuk makluman, jumlah mangsa yang dipindahkan semalam adalah seramai 471 orang dan ditempatkan di enam buah PPS di Daerah Nabawan yang terjejas banjir.
-RJ-