
Laporan/foto: Shamsul Bahari Abdul Shukor
GEORGE TOWN, 25 Apr (MalaysiaAktif) – Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim, berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis perasmian Miracle Baby Programme (MBP) di Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini semalam.

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli menyempurnakan perasmian Program Miracle Baby di Hospital Pulau Pinang.
Program kesihatan inisiatif bersama ini memberi tumpuan kepada bantuan perubatan bagi bayi dan kanak-kanak yang menghidap Penyakit Jantung Kongenital (Congenital Heart Disease) dan memerlukan pembedahan pembetulan jantung.
MBP merupakan hasil kolaborasi strategik antara HPP, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Hospital Sri Sathya Sai Sanjeevani (SSSSH) dari India.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni dalam sembah ucapan, berkata pelaksanaan misi kedua MBP tahun ini dijangka memberi manfaat kepada seramai 23 pesakit, meningkat berbanding 18 pesakit pada tahun 2022.
“Program ini menyediakan pembedahan jantung pembetulan pada kos minimum sambil melatih dan memperkasakan tenaga kerja perubatan tempatan.

Kakitangan Hospital Pulau Pinang bergambar kenangan bersama Tuanku Zara Salim.
“Dengan kepakaran pasukan perubatan dari Hospital Sri Sathya Sai Sanjeevani, India, yang terdiri daripada pakar bedah, pakar bius, pakar pediatrik dan pakar jantung, inisiatif ini bukan sahaja menyelamatkan nyawa kanak-kanak, malah turut memindahkan ilmu dan kepakaran penting kepada petugas kesihatan negara,” katanya.
Turut hadir Pengerusi Yayasan Pendidikan UTAR, Tan Sri Datuk Dr. Sak Cheng Lum dan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia B. N. Reddy.
-ZS-