
Laporan/foto: Abdul Hadi Abdul Ghani/Asrul Affandi Saplie@Awang Safre (Semporna)
SEMPORNA 11 Apr (MalaysiaAktif) – Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diagihkan melalui kad penggenalan (MyKad) disambut baik oleh penerima SARA termasuk di kawasan luar bandar Sabah.
Tinjauan Malaysia Aktif ke pasar raya sekitar Semporna mendapati penerima SARA memenuhi premis yang menawarkan sistem pembayaran menggunakan MyKad untuk membeli keperluan barangan asas.

Mohamma Syah menemui Siti Nurimah ketika membeli barang keperluan harian menerusi bantuan MySARA.
Penerima SARA, Siti Nurimah Mohd. Saat, 29, berkata penggunaan MyKad sangat memudahkan dan sebenarnya lebih berkesan serta memastikan bantuan benar-benar sampai kepada golongan sasar.
“Apabila kerajaan menyalurkan bantuan ini melalui MyKad, maka bantuan SARA ini akan benar-benar sampai kepada golongan yang dikhususkan bukannya kepada mereka yang sudah mempunyai pendapatan yang selesa.
“Ada antara penerima yang tiada akaun bank, dan kaedah ini sangat membantu mereka ini supaya golongan sasar menerima manfaat SARA terutama untuk memenuhi keperluan asas,” katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya di sini pada Khamis.
Sementara itu, Pegawai Penerangan Semporna Mohamma Syah Kisun, berpesan agar penerima SARA tidak menyalahgunakan bantuan yang diterima dan memanfaatkan sepenuhnya untuk keperluan mendesak.
“Bantuan bulanan ini adalah untuk meringankan beban mereka yang berpendapatan rendah, diharap penerima berjimat cermat dan merancang perbelanjaan dengan teliti agar manfaatnya dapat dirasai oleh seisi keluarga.
“SARA ini adalah komitmen Kerajaan Madani untuk membantu dan memudahkan rakyat mendapatkan keperluan asas setiap bulan dengan menggunakan sistem bayaran tanpa tunai, sekali gus lebih selamat,” ujarnya.
Untuk rekod, Sabah mencatatkan jumlah penerima bantuan SARA yang tertinggi iaitu seramai 497,815 dengan kemudahan pembelian barangan keperluan asas di 424 premis terpilih di seluruh negeri ini.
-ZS-