Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Nilai Estetika, Beg Sentuhan Karya Seni Peribadi

By 1 hari yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurul Ain Kamil/Shamsul Bahari Abdul Shukor

GEORGE TOWN, 30 Apr (MalaysiaAktif) – Nilai sebuah aksesori seperti beg bukan hanya terletak pada rupa dan jenama kerana masih ada yang menghargai nilai estetika yang ditambah padanya.

Ooi Yee Tong menjahit beg yang telah dipilih pelanggan

Ooi Yee Tong, 25, salah seorang peniaga kedai cenderamata yang menjual beg buatan tangan dengan cetakan karya peribadi.

Beliau yang membuka kedai Zent and Art di Jeti Chew ini berkata jenama syarikat cenderamata ini dicetuskan oleh ayahnya.

“Kami menjual produk cenderamata dari fabrik kanvas yang dijadikan beg jahitan tangan yang dicetak dengan lukisan karya saya dan bapa sendiri,” ujar Ooi.

Cenderamata lain yang turut dijual di Zent and Art

Bekas mahasiswa rekaaan fesyen Equator College ini berkata kebanyakan karya seninya dan bapanya adalah berdasarkan kehidupan yang dilihat di sekeliling mereka.

Sekali pandang, pembeli pasti dapat melihat identiti, budaya dan warisan Pulau Mutiara pada karya seni mereka seperti deretan bangunan lama dan ikon Pulau Pinang.

Antara yang diabadikan dalam lukisan beliau adalah Hero, kucing kesayangannya.

Terdapat pelbagai jenis bag yang dijual seperti beg kanvas mini untuk telefon bimbit, beg silang, beg kantung dan pelindung ipad.

Ooi berkata, Zent and Art di Jeti Chew baru dibuka Januari tahun ini dan merupakan cawangan ketiga di Pulau Pinang.

Selain beg, kedainya turut menjual cenderamata lain seperti rantai kunci, pelekat, magnet kaca, pin dan penanda buku.

“Kebanyakan pembeli adalah pelancong luar terutama dari Taiwan dan China,” katanya yang berharap karya seninya dapat mempromosikan Pulau Pinang sebagai negeri yang kaya dengan warisan sejarah dan budaya.

Ooi berkata, beliau sentiasa optimistik untuk meneruskan perniagaan ini sebagai punca pendapatan tetap dan berharap kerajaan negeri dapat menggiatkan usaha mempromosikan Jeti Chew dalam senarai 10 tempat wajib dilawati di Pulau Pinang.

-AA-

Tinggalkan komen anda