Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

OAOSC Terjemahan Komitmen Kerajaan, Perkasa Komuniti Setempat

By 20 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Siti Nur Hidayah (Kuala Kangsar)

SUNGAI SIPUT, 25 Apr (MalaysiaAktif) – Pembinaan Pusat Sehenti Orang Asli (OAOSC) Bawong memberi impak besar dalam memperkasa komuniti setempat dengan penyediaan prasarana dan kemudahan pentadbiran serta pembangunan sosioekonomi yang holistik.

Wan Ahmad Dahlan ketika lawatan kerjanya ke OAOSC Bawong.

Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, komitmen ini mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan pembangunan negara menyeluruh dan sampai kepada semua peringkat tanpa mengenal bangsa, suku kaum mahupun keturunan.

“Sebagai projek rintis yang mula beroperasi pada tahun 2022, banyak kemudahan yang ada di pusat sehenti ini seperti perpustakaan, dewan, mesin pengeluaran wang automatik (ATM) malah perkhidmatan bas turut disediakan.

“OAOSC adalah terjemahan komitmen kerajaan mendekati dan memenuhi keperluan semua lapisan masyarakat termasuk masyarakat Orang Asli,” ujarnya ketika berucap sempena Lawatan Kerja dan Majlis Ramah Mesra Bersama Warga JAKOA serta Komuniti Orang Asli di OAOSC, Bawong, di sini semalam.

Wan Ahmad Dahlan dalam ucapannya turut mengumumkan sembilan jawatan baharu diluluskan bagi memastikan urus tadbir di pusat sehenti tersebut berjalan lancar.

Perpustakaan Komuniti antara fasiliti utama yang terdapat di OAOSC Bawong.

“Bagi memantapkan lagi fungsi dan peranan yang lebih aktif, perjawatan yang terdiri daripada pelbagai skim dan gred ini diharap dapat menambah baik perkhidmatan di sini,” ujarnya.

Terdahulu, Wan Ahmad Dahlan turut melawat beberapa fasiliti utama di OAOSC seperti Pusat Pentadbiran dan Komersial, Perpustakaan Komuniti dan Pejabat Lembaga Koko.

Turut berlangsung penyampaian sumbangan bakul makanan kepada 20 penerima asnaf warga Orang Asli dan penyampaian hadiah sempena Karnival Sukan Orang Asli Negeri Perak.

-ZS-

Tinggalkan komen anda