
Laporan/foto: Aini Aziz/Politeknik Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU, 24 Apr (MalaysiaAktif) – Suasana gamat dan penuh keterujaan di pameran Inovasi dalam Digital dan Teknologi Peringkat POLYCC Terengganu (inDTex ’25) apabila satu projek inovatif daripada pelajar Politeknik Kuala Terengganu (PKT) berjaya mencuri tumpuan dan merangkul tempat pertama dalam kalangan 35 penyertaan dari institusi seperti Politeknik, Kolej Komuniti, Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Kolej Vokasional, di sini kelmarin.

Pengarah PKT ketika menyampaikan ucapan perasmian di Pameran inDTex, di sini kelmarin.
Projek yang dibangunkan oleh sekumpulan pelajar Diploma Teknologi Maklumat dari PKT ini mengetengahkan aplikasi pembelajaran interaktif berasaskan teknologi tiga dimensi (3D) dan realiti terimbuh (AR).
Fokus utama aplikasi ini adalah untuk memberikan kesedaran dan pengetahuan tentang penyakit Zoonotik, atau lebih dikenali sebagai Zoonosis, iaitu penyakit yang berpunca daripada haiwan dan boleh menjangkiti manusia seperti anjing gila dan denggi.
“Kami membangunkan aplikasi ini untuk menyampaikan maklumat dengan cara yang lebih interaktif dan menyeronokkan.
“Melalui pendekatan teknologi 3D dan AR, pengguna boleh belajar tentang lima haiwan utama pembawa zoonosis iaitu anjing, kucing, burung, khinzir dan nyamuk,” jelas ketua kumpulan, Muhammad Nabil Aiman Mohd Bakri, 23.
Lebih menarik, aplikasi ini turut dibangunkan dalam dwibahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris menjadikannya lebih inklusif dan sesuai untuk kegunaan lebih meluas.

Pameran inDTex 2025 melibatkan 35 penyertaan dari institusi seperti Politeknik, Kolej Komuniti, Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Kolej Vokasional.
Menurut Muhammad Syahmi Shariffudin, 21, penggunaan perisian Unity menjadi tulang belakang pembangunan aplikasi ini dan mereka banyak meneroka ilmu secara kendiri di luar silibus, hasil bimbingan dan idea awal daripada pensyarah penasihat mereka.
“Kami tak jangka akan menang. Projek ini ambil masa lebih lima bulan untuk disiapkan dan banyak cabaran kami tempuhi termasuk dari segi teknikal dan kekangan masa,” ujarnya.
Pengarah Politeknik Kuala Terengganu Ts. Nadzri Che Kamis, turut memuji usaha pelajar dan menyatakan bahawa inDTex bukan sekadar pameran inovasi semata-mata, tetapi platform penting dalam melatih pelajar dalam kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi dan kerjasama berpasukan.
-ZS-