
Laporan/foto: Syed Mohd Adib (Segamat)
SEGAMAT, 14 Apr (MalaysiaAktif) – Ar-Rahn Koperasi Permodalan Kelantan Berhad (KoPKB) mencipta satu lagi detik bersejarah dengan perasmian cawangan baharunya di Pusat Komersial Yayasan petang kelmarin.

Penyerahan sumbangan berupa wang tunai serta bakul makanan kepada penerima asnaf
Pengerusi Koperasi Permodalan Kelantan Berhad(KoPKB) Abdul Rahman Ali berkata bahawa pembukaan Ar-Rahn Segamat ini merupakan cawangan kedua hasil kerjasama antara KoPKB dan Waqaf An-Nur yang dijangka memainkan peranan penting dalam menyediakan akses pembiayaan mikro patuh Syariah kepada penduduk setempat.
“Waqaf An-Nur yang beroperasi berlandaskan maqasid syariah kini lebih inklusif dengan membuka peluang kepada orang ramai untuk berwakaf melalui program Hibah Lil Waqaf, pelaburan Dana Unit Amanah PMB An-Nur Waqf Fund dan pewakafan yuran keahlian,” katanya.

Antara barisan tetamu kehormat yang hadir
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Datuk Amran Abd Kadir menyatakan keyakinan bahawa sasaran RM73 bilion di bawah DaKoM 2030 boleh dicapai lebih awal, sejajar dengan pertumbuhan ekonomi negara yang kini mencecah 5%.
“Dalam usaha membantu gerakan koperasi untuk terus berkembang maju, kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM100 juta pada tahun 2024 melalui Pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM bagi menyediakan modal pusingan kepada koperasi yang terlibat dalam aktiviti ekonomi yang berpotensi dan berdaya maju,” katanya semasa merasmikan Ar-Rahn Cawangan Segamat Koperasi Permodalan Kelantan Berhad.
“Gerakan Koperasi Malaysia dengan ekosistem yang tersendiri dan kekuatan seramai lebih 7 juta anggota juga diharapkan mampu membantu kerajaan melaksanakan pelbagai program untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan serta pengagihan kekayaan dibuat secara telus, adil dan saksama,” tambahnya.
Rohaizal Abu Bakar, 29, mewakili ibu sebagai penerima asnaf, berkata rasa bersyukur dan berterima kasih kepada penganjur yang menghulurkan sumbangan berupa wang tunai yang dapat meringankan sedikit beban golongan asnaf di dalam bulan Syawal.
Seramai 20 orang asnaf telah menerima sumbangan daripada Koperasi Permodalan Kelantan Berhad berupa wang tunai serta bakul makanan.
Turut hadir, Lembaga Pengarah Wakaf An-Nur Datuk Nooh Gadot, Timbalan Mufti Negeri Johor Sahibus Samahah Datuk Ahmad Faisal Mohamed, Timbalan Pengarah SKM Negeri Kelantan Hasrul Adzuan Hassin, Timbalan Pengarah SKM Negeri Johor Izzelita Juzy Mohd Nazir dan Ketua Eksekutif Wakaf An-Nur Bukhari Abd Rahman.
-AA-