Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Penjawat Awam, Pelajar PMJB Manfaatkan ‘Jom Baca Bersama’

By 1 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 24 Apr (MalaysiaAktif) – Penjawat awam di Wisma Persekutuan Johor Bahru dan pelajar Politeknik MeTrO Johor Bahru (PMJB) telah menyambut baik saranan ‘Jom Baca Bersama’ yang diadakan serentak di seluruh negara, semalam.

Tinjauan petugas Malaysia Aktif mendapati penjawat awam dan pelajar PMJB memanfaatkan pengisian program dengan amalan membaca selama 10 minit dengan pelbagai jenis bahan bacaan yang disediakan.

Mohammad Khairul membaca buku berjudul I Dental semasa program ‘Jom Baca Bersama’ di pejabatnya di Bahagian Kesihatan Pergigian.

Salah seorang penjawat awam dari Bahagian Kesihatan Pergigian, Jabatan Kesihatan Negeri Johor Mohammad Khairul Izwan Maskuri, 28, berkata program ini sepatutnya perlu diadakan pada setiap bulan bagi memupuk budaya amalan membaca dapat diterapkan kepada semua masyarakat.

“Budaya membaca yang diamalkan oleh masyarakat sebagai jambatan ilmu pengetahuan secara tidak langsung dapat memberikan ilmu yang bermanfaat, khususnya kepada generasi muda,” katanya.

Sementara itu, salah seorang pelajar PMJB, Muhammad Hakim Mohd Rashid, 19, berkata program ‘Jom Baca Bersama’ memberikan peluang kepada pelajar dan warga Politeknik untuk meluangkan masa bersama walaupun hanya selama 10 minit.

Muhammad Hakim yang juga pelajar Diploma Pengurusan Logistik dan Rantaian Bekalan dan Presiden Kelab Sahabat Perpustakaan PMJB turut menyertai program ‘Jom Baca Bersama’ di peringkat Politeknik MeTRo Johor Bahru.

“Walaupun singkat, program ini sangat bermanfaat kerana memberikan peluang untuk mempelajari pelbagai pengetahuan serta berkongsi ilmu.

“Selain itu, ia turut menjadi medium untuk menyemai amalan membaca dalam kalangan pelajar,” katanya.

Terdahulu, program ‘Jom Baca Bersama’ anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Johor peringkat negeri Johor telah berlangsung di LEGOLAND Malaysia yang telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin.

-ZS-

Tinggalkan komen anda