
Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh
TANAH MERAH, 18 Apr (MalaysiaAktif) – Penyakit Tuberkulosis (tibi) masih menjadi ancaman kesihatan awam yang serius dan boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat dengan segera.
Tibi yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis, lazimnya menyerang paru-paru namun turut boleh merebak ke tulang, otak dan organ lain dalam badan.
Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr. Zaini Hussin, tibi adalah penyakit yang boleh disembuhkan sepenuhnya sekiranya pesakit mematuhi rawatan secara konsisten seperti yang disarankan pengamal perubatan.

Dr. Zaini ketika menyampaikan ucapan.
“Kerajaan komited untuk memastikan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang, mendapat akses kepada kehidupan yang sihat dan berkualiti,” katanya ketika berucap sempena Majlis Sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2025 dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) di Dewan Jubli Perak, Majlis Daerah Tanah Merah, di sini semalam.
Dr. Zaini turut menekankan pentingnya sokongan sosial terhadap pesakit tibi.
“Pesakit tibi tidak sepatutnya disisihkan. Penerimaan dan empati masyarakat merupakan elemen penting dalam kejayaan rawatan dan proses pemulihan mereka,” katanya.
Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit dari Pejabat Kesihatan Daerah Tanah Merah Dr. Nik Amalina Nik Saidina Omar, menegaskan bahawa masyarakat tidak perlu takut untuk mendapatkan rawatan sekiranya menghidap tibi.
“Pengesanan awal amat penting. Jika ada gejala seperti batuk berpanjangan, demam malam atau berpeluh, pesakit perlu segera hadir ke klinik kesihatan untuk saringan.
“Kita kini menggunakan teknologi diagnostik terkini yang lebih pantas dan tepat, serta memperkukuh sistem pemantauan untuk memastikan pesakit mematuhi rawatan,” jelasnya.

Sesi bergambar di Majlis Sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Negeri Kelantan dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia (ANMS) Tahun 2025.
Salah seorang bekas pesakit tibi yang turut hadir Zailani Che Lah, 55, dari Taman Barakah, di sini berkongsi pengalaman peribadinya mengalami batuk keterlaluan dan demam berpanjangan sebelum didiagnosis menghidap tibi.
“Memang terkejut dan takut bila disahkan ada tibi.
“Tapi syukur, dengan rawatan pemulihan yang saya ikuti, kini saya sihat dan kembali cergas,” katanya.
Majlis ini dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Kelantan Hilmi Abdullah dan dihadiri lebih 500 orang termasuk pegawai kerajaan, pemimpin masyarakat, pelajar Institut Pengajian Tinggi serta orang awam.
Turut hadir Pegawai Jajahan Tanah Merah Wan Ahmad Suwardi Zainal Abidin dan Pegawai Kesihatan Daerah Tanah Merah Dr. Nik Aida Nik Adib.
-ZS-