Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Pertandingan Pintu Gerbang Raya Tawau Dicadang Masuk Kalendar Pelancongan

By 21 April 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Mohd Maqdi Salleh (Tawau)

TAWAU, 21 Apr (MalaysiaAktif) – Tradisi pertandingan Pintu Gerbang Raya yang dianjurkan saban tahun di kawasan perkampungan sekitar Daerah Tawau wajar diangkat sebagai salah satu acara tahunan dalam kalendar pelancongan di bawah Majlis Perbandaran Tawau (MPT) berikutan sambutan hangat serta nilai kebudayaan yang dipaparkan melalui acara tersebut.

Nizam memberi ucapan di Majlis Penutupan Pertandingan Pintu Gerbang Raya Tawau 2025, kelmarin

Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri di Tawau terserlah melalui hiasan pintu gerbang yang diterangi lampu LED berwarna-warni, mencerminkan kreativiti dan semangat gotong-royong masyarakat setempat. Tradisi yang diwarisi turun-temurun ini turut menarik perhatian pelancong dari dalam dan luar negeri.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, ketika merasmikan Majlis Penutupan Festival Ramadan Raya Sabah 2025 di Dewan Masyarakat Tawau pada Sabtu, menyifatkan inisiatif tersebut sebagai satu wadah memperkukuh perpaduan dan jati diri masyarakat.

“Saya melihat program ini bukan hanya sekadar pertandingan, tetapi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk kampung serta mengukuhkan perpaduan komuniti. Justeru, Pertandingan Gerbang Raya ini wajar dimasukkan dalam kalendar pelancongan Perbandaran Tawau bagi menarik lebih ramai pelancong untuk menyaksikan sendiri keunikan sambutan Hari Raya di daerah ini,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut memuji penganjuran aktiviti kerohanian seperti Jelajah Tilawah Al-Quran, Jelajah Qiyam, serta Butik Kebajikan yang menurutnya memberi impak positif terhadap pembentukan sahsiah generasi muda.

Asmah mengucapkan terima kasih atas sokongan padu dalam menjayakan program ini.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Wanita Ikon Malaysia (KWIM) Sabah, Asmah Kadir memaklumkan bahawa pertandingan Pintu Gerbang Raya akan terus diperkasakan dengan pembaharuan kreatif tanpa menjejaskan nilai tradisional yang menjadi terasnya.

“Kami merancang untuk memberi nafas baharu kepada pertandingan ini, termasuk menjemput juri antarabangsa serta memperkenalkan tema global dalam edisi akan datang. Sokongan padu daripada YB Datuk Nizam sebagai wakil kerajaan amat kami hargai dan menjadi kunci utama kejayaan program ini,” ujarnya.

Pertandingan yang dianjurkan oleh ASMAH Empire dengan kerjasama pelbagai agensi serta komuniti setempat itu menyaksikan Kampung Sabaktullah dinobatkan sebagai juara, diikuti Kampung Baru Pasir Putih di tempat kedua dan Kampung Batu 2 Lorong Mat Salleh di tempat ketiga.

-RJ-

Tinggalkan komen anda