
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/BERNAMA (Johor)
JOHOR BAHRU, 22 Apr (MalaysiaAktif) – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan berangkat menghadiri majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri Johor dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
MCMC dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, berkata menerusi kerjasama ini, pelbagai inisiatif baharu akan dilaksanakan termasuk pembangunan infrastruktur digital, peluasan liputan 5G di kawasan strategik, pembangunan kapasiti rakyat dan pelaksanaan program keselamatan siber.
“Pelaksanaan inisiatif kerjasama ini dianggar memerlukan peruntukan sebanyak RM300 juta dalam tempoh dua tahun mendatang bagi memastikan pelaksanaan dan objektifnya tercapai,” menurut kenyataan itu.

Majlis pertukaran MoU antara Kerajaan Negeri Johor dan MCMC bertujuan untuk memperkasa pembangunan infrastruktur digital di Johor.
Majlis pertukaran itu berlangsung di Dewan Kenanga di Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), di sini semalam.
Selain itu, kerjasama ini juga turut menyokong pembangunan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) sebagai pemangkin pelaburan digital dan perdagangan serantau menerusi penyediaan infrastruktur Internet yang stabil dan menyeluruh, sekali gus memperkukuh ekosistem teknologi tinggi negara menerusi kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Setiausaha Kerajaan Johor Tan Sri Datuk Dr. Azmi Rohani dan Pengerusi Eksekutif MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
-ZS-