Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Program Jualan Rahmah MADANI Bergerak beri Manfaat kepada Orang Ramai

By 2 jam yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Shahrul Ammar Jauhari/Muhamad Hafizuddin Abdul Halim (Kuala Lumpur)

KUCHAI LAMA, 28 Apr (MalaysiaAktif) – Program Jualan Rahmah (PJR) MADANI Bergerak anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah berlangsung di Perkarangan Apartmen Taman Castlefield, di sini kelmarin dimanfaatkan sepenuhnya oleh orang ramai khususnya suri rumah bagi mendapatkan barangan keperluan pada harga yang jauh lebih murah.

Suri rumah Mun Li Li, 50, yang berkunjung ke PJR, berkata jualan ini amat membantu terutama kepada golongan B40 dan mereka yang mempunyai ramai anak.

“Saya memang menanti PJR dan saya dapati barangan keperluan dijual di sini jauh lebih murah.

“Saya juga berharap supaya program ini diadakan lebih kerap dalam membantu mengurangkan beban perbelanjaan harian rakyat Malaysia,” katanya.

Pekerja swasta, Elli Adila Azlan, 36, begitu teruja untuk membeli barangan yang dijual di PJR ini.

Melihatkan harga barangan yang ditawarkan, menyebabkan Elli terus membuat keputusan untuk membeli barangan makanan seperti minyak masak, susu pekat, gula, tepung gandum, sardin, kicap dan sos cili serta barangan keperluan seperti sabun pencuci baju dan pencuci pinggan.

“Ini kali pertama saya berkunjung ke Jualan Rahmah, sebelum ini hanya lihat iklan di media sosial tapi tidak berkesempatan datang kerana bekerja atau diadakan jauh dari rumah.

“Apabila melihat harganya, baru saya sedar kenapa ramai yang datang membeli di sini,” katanya.

Tambahnya lagi, dia boleh berjimat dan barangan yang ditawarkan daripada jenama yang selalu digunakan dan dibeli di pasar raya.

Petugas Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya turut memberikan informasi terkini berkenaan dasar-dasar kerajaan.

Sementara itu, Gabriel Paul Joseph, 56, yang ditemui, berkata, PJR sangat bagus untuk semua rakyat Malaysia kerana menjimatkan terutama barangan dapur.

“Kami sebagai rakyat amat bersyukur kerana dapat membeli barang keperluan tanpa perlu menghadapi beban kewangan tinggi.

“Diharapkan program ini akan terus berjaya dan memberi impak positif kepada masyarakat setempat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Komuniti MADANI Kuchai Lama Brian Lee Jun Mai, berkata banyak penjimatan yang diperoleh daripada program berkenaan.

“Sudah pasti ia dapat digunakan untuk keperluan lain dalam aspek pengurusan kewangan terutama kepada yang mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai.

“Saya berharap lebih banyak barangan lain turut dijual di program ini, selain turut diadakan di banyak lagi kawasan lain supaya ramai yang mengetahui dan mendapat manfaat daripada inisiatif kerajaan yang baik ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin mengetahui maklumat lanjut PJR berkaitan tarikh dan lokasi program, boleh melayari Portal Rasmi KPDN di www.kpdn.gov.my/jualan-rahmah.

-ZS-

Tinggalkan komen anda