Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

Pusat Beli-Belah Riverside Semakin Sepi, Nostalgia Tetap Bersemadi

By 53 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Safik Effendi Kassim (SARAWAK)

KUCHING, 28 Apr (MalaysiaAktif) – Suatu ketika dahulu menjadi lokasi tumpuan anak muda dan pelancong, Pusat Beli-Belah Riverside kini menyaksikan perubahan drastik apabila suasananya semakin lengang dan sunyi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Suasana lengang di Pusat Beli-Belah Riverside yang kini hanya menjadi kenangan indah bagi penduduk Kuching.

Terletak di tengah-tengah bandar raya Kuching dan berhampiran dengan Sungai Sarawak, pusat beli-belah ini pernah gah pada era 90-an sebagai destinasi membeli-belah, hiburan, dan tempat bersantai yang popular.

Namun, masa telah mengubah landskapnya. Kebanyakan ruang niaga kini kosong, dan sebahagian besar kedai serta kemudahan hiburan seperti pawagam tidak lagi beroperasi.

Bagi Faizudin, kemunculan pusat beli-belah moden antara punca Riverside makin sepi.

“Saya rasa Pusat Beli-Belah Riverside sudah kurang relevan. Dulu ia meriah sebab tidak banyak pilihan lain. Sekarang, ramai orang lebih suka pergi ke pusat beli-belah yang moden,” ujar Mohamad Faizudin, 31, seorang penduduk tempatan ketika ditemu ramah di sini semalam.

Mohd Haziq berharap Riverside diberi nafas baharu kerana lokasinya yang strategik.

Pandangan serupa turut dikongsi Mohd Haziq, 28, yang menyatakan bahawa ketiadaan pawagam dan pilihan makanan menyumbang kepada kemerosotan tarikan pusat beli-belah tersebut.

Namun begitu, masih ada harapan di hati penduduk tempatan agar pusat ini diberi nafas baharu.

“Saya harap pihak pengurusan akan ubah suai dan aktifkan semula tempat ini, mungkin dengan gabungan elemen moden memandangkan lokasinya yang strategik,” tambah Haziq.

Walaupun tidak lagi serancak dahulu, Pusat Beli-Belah Riverside tetap menyimpan pelbagai nostalgia bagi generasi lama dan punya potensi untuk dikembalikan kegemilangannya jika diberi peluang kedua.

-RJ-

Tinggalkan komen anda