Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Raikan Aidilfitri, Lambang Keharmonian Komuniti

By 2 hari yang lalu2 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: AgKu Marzuki Ag Latip (Tawau)

TAWAU, 19 Apr (MalaysiaAktif) – Sambutan Hari Raya Aidilfitri di peringkat komuniti bukan sahaja menjadi medan mengeratkan silaturahim, malah turut mencerminkan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan latar belakang.

Hamild menyampaikan ucapan sempena Hari Raya Aidilfitri di Kampung Balung Cocos, Tawau.

Program Jiwa@Komuniti MADANI sempena Aidilfitri yang diadakan di Kampung Balung Cocos baru-baru ini, menyerlahkan semangat kebersamaan serta nilai madani yang menjadi asas keharmonian masyarakat di daerah ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Hamild @ Hamid Awang, berkata setiap individu memainkan peranan penting dalam mengekalkan nilai perpaduan yang menjadi teras kestabilan negara.

“Majlis sebegini bukan sekadar sambutan, tetapi lambang kesatuan dan semangat madani masyarakat kita. Kita bersyukur kerana dapat berkumpul dalam suasana harmoni, penuh senyuman dan kasih sayang sesama penduduk,” katanya ketika merasmikan program tersebut pada Jumaat.

Beliau turut menambah bahawa penganjuran program seumpama ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan sesama penduduk, tetapi juga memperkukuh semangat perpaduan dalam komuniti majmuk seperti di Kampung Balung Cocos.

Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Tawau, Azuary Abdul Azis, berkata majlis seumpama ini turut dimanfaatkan oleh pihak Jabatan Penerangan untuk menyampaikan maklumat dasar kerajaan kepada masyarakat secara terus dan bersemuka.

Pegawai Penerangan tunjuk cara guna kod QR kepada Hamild sempena Hari Raya di Kampung Balung Cocos kelmarin.

“Jabatan Penerangan mengambil peluang untuk berkongsi informasi melalui bahan penerbitan, termasuk memperkenalkan penggunaan kod QR sebagai medium capaian maklumat sahih dan terkini,” jelas beliau.

Pengerusi Komuniti MADANI Kampung Balung Cocos, Norafizah Asmad, turut menzahirkan rasa gembira atas sambutan meriah yang diberikan oleh penduduk setempat terhadap penganjuran majlis ini.

“Majlis ini berjaya menyatukan masyarakat dalam suasana penuh mesra dan saling menghormati. Inilah semangat yang ingin kita kekalkan dalam komuniti MADANI,” katanya.

Majlis turut diserikan dengan bacaan doa, jamuan Hari Raya, edaran bahan penerbitan serta persembahan nyanyian oleh komuniti setempat. Program ini dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Penerangan Daerah Tawau dan mendapat sambutan hangat daripada seluruh warga kampung.

-RJ-

Tinggalkan komen anda