
Laporan/foto: Syamimi Aaizag Ibrahim (Pendang)
PENDANG, 21 Apr (MalaysiaAktif) – Inisiatif kerajaan dalam membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah melalui pemberian bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) disambut baik oleh masyarakat di Felda Sungai Tiang dan kawasan berhampiran.
Kadar bantuan SARA yang telah ditingkatkan daripada RM600 kepada RM1,200 yang turut diperluaskan kepada sekitar 700 ribu orang penerima berbanding 200 ribu orang penerima sebelum ini mula dikreditkan ke dalam Mykad mereka yang layak bermula 1 April yang lalu.
Menzahirkan rasa syukur, Zakiah Hussain, 62, yang ditemui semasa sedang membuat pembelian barangan keperluan harian di pasar mini dekat sini berkongsi bahawa beliau tidak pernah mendapat bantuan SARA sebelum ini.

Antara barangan keperluan asas yang boleh ditebus menggunakan SARA.
“Anak saya membuat semakan melalui laman web MyKasih dan mendapati saya layak dan telah menerima sumbangan SARA melalui Mykad.
“Terima kasih Kerajaan MADANI kerana memahami keperluan rakyat dengan memperluaskan bantuan ini kepada golongan yang berpendapatan rendah seperti kami,” ujarnya.
Fatin Ibrahim, 33, yang ditemui ketika membuat penebusan SARA di pasar mini berkenaan juga turut mengucapkan rasa syukur kerana walaupun bukan dalam jumlah yang besar, tetapi bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan kuasa membeli rakyat.
“Alhamdulillah, walaupun tidak banyak, namun bantuan ini dapat meringankan kos pembelian barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak dan lain-lain.
“Diharapkan selepas ini lebih banyak pasaraya, pasar mini dan kedai runcit menawarkan pembelian dan penebusan melalui MyKasih terutama di kawasan yang jauh dari pekan,” ujarnya.
Pasar raya yang terlibat dengan program MyKasih di sekitar daerah Pendang telah mula dibanjiri orang ramai yang ingin membuat pembelian dan penebusan SARA sejak awal April lalu antaranya Pasar Raya Econo Jaya, Kedai Runcit Coopmart Pasar Mini Hitmart dan Pasar Raya SK Freshmart.
-ZS-