
Laporan/foto: Isnaniwati Ginulis | Pejabat Media dan Komunikasi Ketua Menteri Sabah (Sook)
SOOK, 29 Apr (MalaysiaAktif) – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi pembinaan Dewan Terbuka Daerah Sook dan naik taraf Bangunan Urusetia Daerah Sook, sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan negeri mempercepatkan pembangunan di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, pelbagai projek infrastruktur kini giat dilaksanakan demi meningkatkan kesejahteraan rakyat, termasuk pembinaan jalan raya berturap yang menjadi nadi utama penghubung penduduk.

Hajiji menandatangani plak perasmian sebagai simbolik pelancaran rasmi Naik Taraf Daerah Penuh Sook semalam.
Antara projek utama yang sedang dilaksanakan ialah:
-
Jalan Sinaron, Sook ke Jalan Linayukan, Tongod sepanjang 40 kilometer dengan kos RM320 juta.
-
Jalan Rancangan Belia Tiulon, Sook sepanjang 22.85 kilometer bernilai RM127 juta.
“Jalan berturap ini bukan sahaja menjimatkan masa dan kos perjalanan, tetapi juga berpotensi menjana pertumbuhan ekonomi tempatan,” katanya ketika merasmikan Pelancaran Naik Taraf Daerah Penuh Sook, di sini pada Isnin.
Dalam aspek pembangunan masyarakat, Hajiji berkata kerajaan negeri terus komited menyediakan pelbagai inisiatif termasuk dalam sektor pendidikan, kesihatan, dan sosioekonomi:
-
Beberapa sekolah seperti SK Ambual, SK Rancangan Belia Tiulon, SMK Dalit dan SMK Trusmadi kini hampir siap.
-
Klinik Kesihatan Sook telah dinaik taraf dengan kos hampir RM1 juta, manakala Klinik Desa Karamatoi dan Klinik Desa Marapok masing-masing melibatkan kos RM600,000.
-
Projek Pembinaan Pencawang Pembahagian Utama (PPU) oleh Sabah Electricity juga telah siap pada tahun lalu.
Hajiji serta tetamu kehormat merakam gambar selepas Majlis Pelancaran Naik Taraf Daerah Penuh Sook.
Bagi perumahan pula, 120 penduduk menerima manfaat Rumah Mesra SMJ dari tahun 2022 hingga 2024 dengan peruntukan hampir RM9.6 juta, manakala untuk tahun 2025, RM6.4 juta diperuntukkan untuk membina 80 buah rumah SMJ di Sook.
“Antara perancangan masa hadapan termasuk pembinaan kompleks sukan, hospital daerah, balai polis, serta penambahan keluasan Klinik Kesihatan Sook,” tambah beliau.
Beliau menegaskan bahawa semua pembangunan yang dibawa mencerminkan iltizam kerajaan negeri dalam membela rakyat dan membawa Sabah ke arah kemajuan yang tersusun, inklusif dan mampan.
Untuk makluman, Sook telah diwartakan sebagai Daerah Penuh pada 7 Ogos 2024.
-RJ-