Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Rumah Terbuka Aidilfitri, Medan Persahabatan Antara Pemimpin dan Rakyat

By 4 hari yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/ (Tawau)

TAWAU, 14 Apr (MalaysiaAktif)–Kira-kira 5,000 pengunjung menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Majlis yang berlangsung meriah itu dihadiri masyarakat pelbagai kaum, agama dan latar belakang politik, sekali gus menzahirkan semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat negeri ini.

Nizam menyerahkan sumbangan kepada pelajar tahfiz di majlis tersebut kelmarin.

Merangkap Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Nizam berkata, penganjuran rumah terbuka tersebut bertujuan untuk merapatkan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat setempat.

“Alhamdulillah, saya amat terharu dengan kehadiran ramai pengunjung termasuk yang datang dari luar kawasan seperti Sandakan, Lahad Datu, Kunak dan Semporna.

“Ini memberi kekuatan kepada saya untuk terus berkhidmat bersama kepimpinan kerajaan negeri yang diterajui oleh YAB Ketua Menteri Sabah.

“Saya amat menghargai kehadiran rakan-rakan daripada parti yang berlainan fahaman politik, ini mencerminkan kematangan politik dan semangat kekeluargaan yang harus dikekalkan,” katanya ketika ditemui majlis berkenaan yang diadakan di kediamannya di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap usaha kerajaan negeri dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negeri dengan penglibatan pelbagai agensi.

“Kita menyokong komitmen Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Saban (ESSCOM) dan Jabatan Imigresen dalam memastikan sempadan negeri sentiasa terpelihara.

“Kampung Inderasabah yang terletak di sempadan kini menjadi kampung angkat ESSCOM dan ini menunjukkan keseriusan pihak berkuasa dalam memastikan keselamatan rakyat.

Golongan asnaf menerima bantuan bagi meringankan beban kewangan yang dihadapi.

“Saya menyeru agar kepimpinan masyarakat di peringkat kampung terus bekerjasama dengan agensi keselamatan bagi mencegah sebarang ancaman daripada anasir luar,” katanya.

Pada majlis tersebut, seramai 130 penerima asnaf menerima bantuan sempena Aidilfitri, manakala 35 pelajar tahfiz turut menerima sumbangan 25 buah komputer riba sebagai galakan untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Selain itu, empat orang anak jati Tawau yang muncul sebagai johan Hafazan al-Quran peringkat negeri tempoh hari juga menerima insentif khas pada majlis terdebut sebagai persediaan untuk mewakili Sabah ke peringkat kebangsaan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda