
Laporan/foto: Abdul Hadi Abdul Ghani/Asrul Affandi Saplie@Awang Safre (Semporna)
SEMPORNA, 6 Apr (MalaysiaAktif) – Sambutan Hari Raya Aidilfitri menjadi simbol kegembiraan dan perpaduan dengan tradisi rumah terbuka Komuniti MADANI bersama masyarakat setempat bagi mengeratkan silaturahim sepanjang musim perayaan.
Menurut Penolong Pegawai Daerah Semporna Abdul Aziz Bool, program ini yang menghimpunkan tujuh Komuniti MADANI di daerah ini mampu mempereratkan hubungan antara masyarakat menerusi majlis perayaan yang diadakan di setiap komuniti.

Abdul menyampaikan ucapan kepada komuniti setempat.
“Program yang dianjurkan oleh Komuniti MADANI Kampung Kebun Bunga selaku tuan rumah ini dapat ditingkatkan ke tahap lebih tinggi sebagai budaya tahunan Komuniti MADANI peringkat daerah bersama masyarakat setempat.
“Melalui inisiatif ini, kita dapat memupuk semangat kekitaan dan kebersamaan antara Pejabat Penerangan Daerah Semporna dan komuniti setempat,” katanya di Program Jiwa@Komuniti MADANI di Dewan Terbuka Kampung Kebun Bunga Semporna, di sini pada Jumaat.
Sementara itu, Pengerusi Permuafakatan Komuniti Madani Daerah Semporna Adam Tahing, berkata sambutan kali ini telah berjaya menyemai sikap keterbukaan dan keharmonian dalam kalangan komuniti.
“Ia menggalakkan komunikasi yang lebih terbuka, penerimaan terhadap kepelbagaian serta rasa hormat terhadap pandangan yang berbeza. Kesempatan untuk bersua muka ini juga membuka ruang kepada masyarakat untuk bertukar pendapat, berkongsi cerita serta mengeratkan hubungan sesama mereka.
“Secara tidak langsung, aktiviti sosial seperti ini dapat membina jaringan hubungan yang lebih erat antara penduduk pelbagai komuniti di daerah ini,” jelasnya.

Mohamma Syah menyampaikan cenderahati kepada adam tahing diiringi oleh wakil pegawai daerah Abdul Aziz Bool.
Dalam pada itu, Pegawai Penerangan Daerah Semporna Mohamma Syah Kisun, memaklumkan bahawa penganjuran program ini turut menjadi platform penyampaian maklumat kepada masyarakat mengenai isu-isu keselamatan dalam talian serta pengenalan kepada teknologi Artificial Intelligence Fact-Check Assistant (AIFA).
“Melalui program ini, kita mengambil peluang untuk menyampaikan dasar-dasar kerajaan dan isu semasa melalui edaran bahan penerbitan rasmi kepada komuniti.
“Ini membolehkan masyarakat memahami secara lebih mendalam isu-isu yang berlaku di sekeliling mereka serta menyemai nilai-nilai sosial yang penting dalam kehidupan bermasyarakat,” ujarnya.
Untuk makluman, program ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk pengedaran bahan penerbitan Jabatan Penerangan, pertandingan karaoke lagu raya serta cabutan tiket bertuah.
-RJ-