
Laporan/foto: Mohd Sukri Ismail
TUMPAT, 21 Apr (MalaysiaAktif) – Bagi menyemarakkan semangat Syawal dan mengeratkan hubungan komuniti, Komuniti MADANI Tujoh telah mengadakan sambutan Aidilfitri yang penuh ceria bersama 50 kanak-kanak Tadika Sri Genting dan Tadika Perpaduan Geting, bertempat di Kampung Geting, di sini kelmarin.
Ketua Komuniti MADANI Tujoh Engku Zaid Tuan Man, 57, berkata sambutan Aidilfitri merupakan acara tahunan yang menjadi tradisi penting untuk diraikan bersama seluruh komuniti setempat.

Penyampaian duit raya kepada kanak-kanak tadika.
“Tahun ini, kita meraikan anak-anak tadika dalam suasana penuh kemesraan, diiringi ibu bapa masing-masing, dengan harapan membentuk kenangan manis dan mendidik nilai perpaduan sejak kecil,” katanya.
Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Penolong Pengarah Gerak Saraf dan Pengurusan Isu Jabatan Penerangan Negeri Kelantan Nadia Haneen Zaminuddin, yang mewakili Pengarah Penerangan Negeri untuk merasmikan Program Jiwa @ Komuniti.
Beliau turut meluahkan rasa gembira melihat keterujaan kanak-kanak yang hadir lengkap berpakaian tradisional serta sokongan padu daripada ibu bapa dan penduduk kampung.

Antara tetamu yang hadir.
“Majlis seperti ini bukan sahaja menyemarakkan semangat Aidilfitri, malah mengukuhkan perpaduan masyarakat dan menzahirkan komitmen semua pihak dalam menjayakan program komuniti,” ujarnya.
Sebagai tanda penghargaan, seramai 50 kanak-kanak yang hadir menerima sumbangan duit raya yang disampaikan oleh pihak penganjur.
Turut hadir Pegawai Perpaduan Daerah Pasir Mas/Tumpat Mohd Zulkarny Salleh serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Mukim Kedai Geting Tumpat Wan Noriah Wan Razak.
-ZS-