
Laporan/foto: Zulkifli Othman/Nor Hapi Zaini Mat Ali (Besut)
BESUT, 10 Apr (MalaysiaAktif) â Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI yang dianjurkan oleh Akademi Kenegaraan Malaysia Negeri Terengganu, di sini kelmarin berjaya menarik hampir 200 penjawat awam dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan di daerah ini.
Penolong Pengarah Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia Negeri Terengganu Noriati Fatimi Ngah dalam ceramahnya menekankan pentingnya mengukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan kakitangan kerajaan.

Sebahagian peserta yang hadir di seminar anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia.
Noriati mengingatkan bahawa semangat ini perlu berlandaskan kepada prinsip Rukun Negara, Perlembagaan Persekutuan dan konsep Malaysia MADANI dalam setiap urusan pekerjaan dan aktiviti harian mereka.
âMalaysia adalah negara yang berbilang kaum dan agama. Keharmonian serta perpaduan yang kita nikmati hari ini adalah satu nikmat yang sangat berharga dan ia perlu dipelihara agar kita terus maju sebagai negara yang berdaulat dan merdeka,â katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa penyebaran ilmu kenegaraan sangat penting untuk membantu rakyat memahami struktur negara dan undang-undang yang menjadi asas kepada kestabilan politik dan sosial.
Menurutnya, Perlembagaan Persekutuan mengandungi prinsip-prinsip demokrasi, keadilan dan hak asasi yang menjadi pelindung kepada kesejahteraan rakyat Malaysia.
Seorang peserta seminar Wan Salman Wan Ahmad, 57, turut memberi pandangannya mengenai pentingnya memahami dan menghormati setiap dasar dan undang-undang negara.

Peserta Wan Salman Wan Ahmad ketika ditemu bual Malaysia Aktif.
Beliau menekankan bahawa semua pihak harus bertanggungjawab dalam menjaga keharmonian negara yang telah terjalin sekian lama.
âDiharapkan Akademi Kenegaraan akan terus memainkan peranan dalam menyebarkan ilmu kenegaraan kepada masyarakat, terutamanya kepada golongan muda, supaya mereka dapat memahami asas kenegaraan dan menanamkan rasa cinta kepada negara,â ujarnya.
Seminar yang diadakan di Kem Akademi Kenegaraan Malaysia Daerah Besut ini turut dihadiri oleh Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia Negeri Terengganu Ahmad Khairuddin Mohammed, yang turut memberikan sokongan kepada usaha ini.
-ZS-