Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Seri Delima Aktifkan Komuniti Sihat

By 1 hari yang lalu26 seconds yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Halimah Abd Ghani (Timur Laut)

GEORGE TOWN, 13 April (MalaysiaAktif) – Karnival Kesihatan yang diadakan di Taman Kejiranan Karpal Singh, Seri Delima, semalam mendapat sambutan hangat daripada penduduk setempat dengan kehadiran lebih 250 orang pengunjung yang mengambil peluang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan percuma dan mendapatkan maklumat berkaitan penjagaan kesihatan.

Penduduk setempat mengambil peluang mendapatkan perkhidmatan yang disediakan

Program anjuran bersama beberapa agensi kerajaan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pentingnya menjaga kesihatan serta mengamalkan gaya hidup sihat.

Antara pengisian menarik termasuk senamrobik, ceramah kesihatan, pemeriksaan tekanan darah dan paras gula dalam darah serta pameran kesihatan oleh pelbagai agensi berkaitan.

Demonstrasi AED beri pendedahan menghadapi situasi kecemasan serangan jantung

Turut mencuri perhatian ialah demonstrasi penggunaan Automated External Defibrillator (AED), yang memberi pendedahan penting kepada orang awam dalam menghadapi situasi kecemasan melibatkan serangan jantung.

Dalam usaha menyampaikan maklumat dan bantuan kerajaan secara terus kepada rakyat, Pejabat Penerangan Daerah Timur Laut turut membuka kaunter semakan kelayakan bagi Sumbangan Asas Rahmah (SARA), bagi membolehkan orang ramai menyemak status kelayakan mereka dan mendapatkan penjelasan lanjut mengenai inisiatif bantuan yang ditawarkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima Connie Tan, turut hadir dan merasmikan program tersebut berkata, karnival seperti ini bukan sahaja mendekatkan rakyat kepada maklumat kesihatan malah memperkukuh semangat komuniti dalam menjaga kesejahteraan bersama.

“Saya berharap program sebegini dapat menjadi pencetus kepada gaya hidup yang lebih sihat dalam kalangan penduduk Seri Delima.

“Kesihatan adalah asas kepada kesejahteraan hidup, dan kita harus sama-sama menjaganya,” ujar beliau.

Karnival ini berjaya mencerminkan semangat komuniti yang prihatin dan peka terhadap kesihatan diri serta keluarga, sekali gus menyokong aspirasi kerajaan dalam membentuk masyarakat MADANI yang sihat dan sejahtera.

-AA-

Tinggalkan komen anda