Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

SK Bidor 2 Lokasi Pertama Kempen Internet Selamat

By 1 hari yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Lina Shukri/Mohammad Ezwandi (Perak)

BIDOR, 11 Apr (MalaysiaAktif) – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melancarkan Kempen Internet Selamat yang pertama di Sekolah Kebangsaan (SK) Bidor 2, di sini semalam bagi memberi pendedahan kepada pelajar, guru dan ibu bapa mengenai keselamatan dalam talian.

Azlan ketika berucap.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak Mohd Azlan Helmi, berkata kempen ini sangat penting dalam mendidik dan memberi panduan khususnya kanak-kanak berumur bawah 13 tahun untuk menjadi pengguna Internet yang bijak dan bertanggungjawab.

Menurutnya, adalah penting untuk ibu bapa dan guru-guru memastikan kanak-kanak menggunakan media sosial hanya apabila mereka cukup matang dan memahami risiko yang terlibat.

“Saya ingin mengingatkan bahawa penggunaan media sosial adalah tidak sesuai untuk kanak-kanak di bawah umur 13 tahun.

“Ini kerana platform media sosial sering kali mengandungi kandungan yang tidak sesuai termasuk berita palsu, perkongsian maklumat peribadi yang tidak selamat dan risiko berhubung dengan individu tidak dikenali,” katanya ketika berucap merasmikan program.

Sesi bergambar seusai program bersama para pelajar dan guru.

Antara modul diketengahkan ialah had umur penggunaan media sosial, larangan kanak-kanak di bawah 13 tahun memiliki akaun media sosial, risiko buli siber, eskploitasi dan penganiayaan seksual dalam talian, ucapan kebencian serta peranan ibu bapa dalam melindungi anak.

Dalam program sama, Azlan turut menyempurnakan pelantikan Ikon Internet Selamat kepada wakil pelajar dan guru serta penyerahan modul ‘Internet Selamat’ kepada Guru Besar SK Bidor 2, Siti Saripah Undar.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Insfrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran, Pengarah Jabatan Penerangan Perak Yosri Abu Mahsin dan Pengarah MCMC negeri Mohd Irwan Mohamed.

-ZS-

Tinggalkan komen anda