
Laporan/foto: Amalina Shazwani Suhaimi/Shamsul Bahari Abdul Shukor
PERMATANG PAUH, 28 Apr (MalaysiaAktif) – Karnival Kita MADANI peringkat Negeri Pulau Pinang yang berlangsung meriah di Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah, di sini kelmarin mengembalikan semula nostalgia permainan tradisional yang pernah menceriakan zaman kanak-kanak dahulu.

Acara tepung gomak turut dipertandingkan.
Lebih 90 peserta menyertai acara sukaneka dan sukan rakyat yang dianjurkan, sekali gus mewujudkan suasana ceria dan membawa semangat kekeluargaan.
Sebanyak sembilan aktiviti dijalankan antara acara individu yang mencuit hati ialah tepung gomak dan boling kelapa manakala kategori keluarga pula menampilkan cabaran seperti musang berjanggut dan makan suap yang sarat dengan gelak tawa serta kerjasama antara ahli keluarga.
Menurut Khairun Nabilla Khamsi, 42, dari Permatang Pasir, program seumpama ini amat bermanfaat kerana memberi ruang untuk beriadah dan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.

Boling kelapa bagi acara kategori dewasa.
“Saya memang sibuk bekerja sepanjang minggu, jadi bila ada aktiviti ini pada hujung minggu saya tak lepaskan peluang untuk beriadah dengan keluarga dan dalam masa sama dapatlah cergaskan badan.
“Terima kasih kepada Jabatan Penerangan kerana memilih kawasan Permatang Pauh untuk mengadakan aktiviti yang begitu meriah dan menghiburkan,” katanya.
Program ini bukan sahaja berjaya menceriakan suasana hujung minggu penduduk setempat, malah menjadi medium menyemai nilai-nilai kekeluargaan, perpaduan dan gaya hidup sihat selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.
-ZS-