Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Sultan Pahang Zahirkan Rawa Dukacita Pencerobohan Tanah Haram

By 17 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh. Nurrul (Pahang)

KUANTAN, 20 Apr (MalaysiaAktif) – Kebawah Duli Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita berhubung pencerobohan tanah haram di negeri ini.

Suasana di dalam Dewan Negeri ketika Tuanku Sultan Pahang menyampaikan titah.

“Musuh kita bukan sekadar dadah dan penjenayah tetapi apa yang lebih lebih tragis dan menyakitkan sebanyak 14,494.908 hektar tanah kerajaan telah diceroboh dan diusahakan secara haram dengan tanaman sawit, getah, durian dan pelbagai hasil bumi.

“Lebih malang apabila 5,997.09 hektar hutan simpanan kekal (HSK) juga telah diceroboh kononnya atas nama pertanian, tetapi hakikatnya perompakan terbuka terhadap harta negeri,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan Titah Diraja Sempena Majlis Perasmian Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 bertempat di Wisma Sri Pahang, Kuantan, Jumaat lalu.

Baginda Tuanku juga amat berbangga dan menzahirkan penghargaaan atas usaha Kerajaan Negeri bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) yang telah mula mengambil tindakan tegas di lapangan termasuk membuat tangkapan, memotong pokok-pokok yang ditanam secara haram dan juga menutup lombong-lombong yang dibuka tanpa rasa malu dan takut.

Sebelum berangkat pulang Sultan Pahang bersama Tengku Ampuan Pahang sempat bergambar kenangan dengan Barisan Kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang.

Titah baginda lagi, perjuangan yang bersandarkan kezaliman terhadap tanah hak milik negeri, tidak akan pernah sesekali mendapat restu beta.

“Apa yang lebih mendukacitakan, terdapat segelintir pihak, termasuk individu yang seharusnya menjadi contoh dan pembela kepada undang-undang, sebaliknya memilih untuk menyokong perbuatan yang tidak bertamadun ini.

“Tindakan sedemikian bukan sahaja mencemarkan imej institusi, bahkan boleh menjejaskan kedaulatan pentadbiran negeri, janganlah kerana kepentingan politik sempit, hukum diketepikan dan perbuatan yang salah dimuliakan,” titah baginda.

-ZS-

Tinggalkan komen anda