
Laporan/foto: Harman Mohammad Khalid/Nor Azwin Jamil (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 10 Apr (MalaysiaAktif) – Seramai 4,500 orang penduduk setempat yang terdiri daripada pelbagai kaum hadir ke Majlis Sambutan Aidilfitri Parlimen Setiawangsa, di sini kelmarin.

Nik Nazmi bersama Setiausaha Politik Perdana Menteri.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat di dalam menjayakan majlis, khususnya komuniti Parlimen Setiawangsa yang telah bekerjasama erat dalam menjayakan rumah terbuka Aidilfitri pada tahun ini.
“Statistik yang tidak cantik di Malaysia ini ialah kita membazir makanan meningkat 20 peratus pada bulan Ramadan yang lepas itu adalah tindakan yang salah, ianya bertentangan dengan kemuliaan bulan Ramadan.
“Saya berharap pada malam ini pun sama ambil makanan berpada-pada jangan sampai membazir,” katanya.
Kemeriahan suasana diceriakan dengan pertunjukkan bunga api, keenakan sajian makanan tradisional, sumbangan duit raya kepada kanak-kanak serta warga emas dan kepelbagaian persembahan seperti tarian tradisional ini telah mencerminkan semangat perpaduan serta keharmonian masyarakat Malaysia yang penuh warna-warni.

Persembahan penghibur jalanan Balle Balle yang mengimbau kenangan dan suasana klasik melalui penggayaan busana kebudayaan dan alatan muzik klasik.
Lebih indah, para tetamu diraikan dengan persembahan tarian serta dendangan alunan suara daripada artis Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan penghibur jalanan Balle Balle yang menggayakan busana kebudayaan tradisional orang Melayu dengan iringan muzik pada tahun 50-an dalam usaha mengimbau kembali suasana klasik.
Turut hadir Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Haji Abidin, Ahli Parlimen Wangsa Maju Ir. Ts. Zahir Hassan, Ahli Parlimen Batu Pahat Haji Onn Abu Bakar, Ahli Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad dan Tan Sri Datuk Seri Lim Keng Cheng.
-ZS-