
Laporan/foto: Sarah Nur Saad/Muhammad Ezwandi (Perak)
TAPAH, 23 Apr (MalaysiaAktif) – Dana peruntukan SejaTi MADANI telah berjaya membantu pengusaha ternakan ikan keli di Kampung Sungai Ranggas di sini untuk meningkatkan hasil ternakan.

Muhammad Kamal ketika ditemu ramah, kelmarin.
Menurut Pengerusi Persatuan Nelayan Muhammad Kamal Hashim, ilham ini telah dilahirkan hasil hubungan baiknya bersama-sama Pejabat Perikanan Daerah Batang Padang.
“Saya telah menternak ikan keli bermula setahun yang lepas dengan bermodalkan RM30,000 dan saya telah membina empat buah kolam tangki simen yang boleh memuatkan anak benih ikan keli sebanyak 20,000 ekor.
Tambah Muhammad Kamal lagi, beliau mengusahakan projek ini sendiri dengan dibantu oleh seorang pekerja.
“Setelah mendapat bantuan dana peruntukan SejaTi MADANI, saya membina 10 buah lagi kolam yang boleh memuatkan 50,000 ekor lagi anak benih ikan keli.

Anak benih ikan keli diberi makan dua kali sehari.
“Proses menternak ikan keli ini mengambil masa empat bulan dan anak benih ikan keli ini diberi makan sehari dua kali,” ujarnya yang juga merupakan Timbalan Ketua Komuniti MADANI Tapah Road ketika ditemui, di sini kelmarin.
“Saya juga mendapat banyak tunjuk ajar, bekalan anak benih dan khidmat nasihat daripada Pejabat Perikanan Daerah Batang Padang dan ikan keli yang diternak ini sangat lasak serta mudah untuk dibela.
Muhammad Kamal turut berharap perkongsiannya dapat menjadi inspirasi kepada golongan muda untuk turut menjadi penternak ikan keli di samping merebut peluang peruntukan yang diberikan oleh kerajaan.
-ZS-