
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/Mohd Ariff Ishak (CMS Selangor)
SHAH ALAM, 10 Apr (MalaysiaAktif) – Kerajaan Negeri Selangor melancarkan Program Program Insentif Digital Media Usahanita Muda (USAHANITA DIGITAL) bagi memperkasa usahawan wanita muda dalam bidang pemasaran digital dan e-dagang.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor Anfaal Saari, berkata program inisiatif berimpak tinggi itu dirangka untuk memperkukuh keupayaan usahawan wanita muda dalam mendepani arus transformasi digital yang pantas.

Ucapan Perasmian oleh Anfaal Saari.
“Program ini adalah penerusan daripada program digital usahawan wanita muda yang pernah diadakan pada tahun 2024.
“Lanjutan daripada sambutan yang sangat menggalakkan pada siri lepas, program ini diteruskan lagi dengan beberapa aspek penambahbaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa melancarkan program tersebut, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor Siti Faridah Abdul Samad dan Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor.
Katanya lagi, keusahawanan digital membolehkan wanita menjalankan perniagaan secara atas talian, maka bersifat lebih fleksibel.
“Program tersebut selaras dengan hasrat kerajaan Selangor dalam Rancangan Selangor Pertama menjadikan negeri ini sebagai Negeri Pintar, Berdaya Huni dan Makmur.
“Pelan Tindakan Wanita Negeri Selangor 2024-2026 juga menggariskan salah satu langkah strategik untuk meningkatkan sosioekonomi wanita adalah dengan mewujudkan ekosistem yang menjana pendapatan untuk kumpulan sasar wanita,” jelasnya.

Sesi bergambar.
Program USAHANITA DIGITAL yang dilaksanakan oleh Wanita Berdaya Selangor adalah sebuah inisiatif yang bertujuan untuk meningkatkan keusahawanan wanita di negeri Selangor.
Program ini memberikan sokongan kepada wanita yang berminat untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan menyediakan latihan dan bimbingan yang dapat meningkatkan kreativiti, kemahiran teknikal dan pemikiran inovatif mereka untuk mewujudkan perniagaan yang berjaya dalam pelbagai aspek media digital.
Melalui program ini dapat memberikan pendedahan kepada golongan usahawan wanita muda tentang trend teknologi terkini dan aplikasi yang berkaitan dengan e-dagang dan pemasaran digital.
-ZS-