
Laporan/foto: Lina Shukri/FAMA Negeri Perak
GOPENG, 23 Mei (MalaysiaAktif) – Seramai 10 usahawan dari Perak bakal menyertai Consumer Fair and Trade Expo 2025 (Ekspo Pengguna dan Perdagangan) yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC) Brunei pada 25 hingga 29 Jun ini.

Antara produk usahawan tempatan yang berjaya menembusi pasaran Brunei.
Majlis Pelepasan Produk Usahawan Perak ke Brunei melalui penghantaran kontena telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Datuk Salbiah Mohamaed di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak, di sini kelmarin.
Menurut Mohd Zolkafly, inisiatif ini bukan sahaja dapat memperkukuh jaringan kerjasama malah berperanan dalam merancakkan pembangunan ekonomi negeri serta meningkatkan pendapatan usahawan tempatan.
“Selaras dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030, aspek kesejahteraan ekonomi menjadi antara fokus utama pentadbiran Kerajaan Negeri.

Mohd Zolkafly ketika berucap.
“Justeru, komitmen kerajaan dalam menyokong dan memperkasa usahawan tempatan akan terus diperkukuh agar mereka mampu bersaing secara kompetitif di peringkat global,” ujarnya.
Sementara itu, Salbiah, berkata langkah ini bukan sahaja membuka peluang pasaran baharu malah mencerminkan daya saing dan kualiti produk tempatan yang mampu menembusi pasaran antarabangsa.
“Semoga usaha ini menjadi pemangkin kepada kejayaan lebih besar sekali gus mengharumkan nama negeri Perak di persada global,” katanya.
Turut hadir Pengarah Pertanian Negeri Perak Ts. Norsiyenti Othman dan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Azleena Zainal Abidin.
-ZS-