
Laporan/foto: Shaik Mohamad Fikri Shaik Ismail (Kemaman)
KEMAMAN, 29 Mei (MalaysiaAktif) – Seramai 380 orang murid daripada Tadika Yayasan Islam Terengganu Cawangan Chukai mengikuti Program Lambaian Kaabah, Simulasi Haji Cilik, di sini kelmarin.

Sebahagian tenaga pengajar Yayasan Islam Terengganu Cawangan Chukai
Program tersebut yang berlangsung di Kampung Gong Limau, Chukai itu bertujuan memberikan pendedahan sebenar rukun-rukun haji dengan cara yang mudah untuk difahami oleh kanak-kanak diusia pra sekolah.
Seramai 196 orang daripada kanak-kanak berusia 5 tahun dan 184 orang berusia 6 tahun telah terlibat dalam program tersebut serta dibimbing oleh 42 orang tenaga pengajar yang diketuai oleh Ketua Biro Kurikulum, Akhtar Najihah Anuar.

Para pelajar melakukan simulasi haji
Guru Besarnya, Roslina Abdulllah berkata, dengan teknik pembelajaran ini diharapkan dapat menanam kecintaan dan kefahaman melalui konsep ibadat haji yang juga merupakan rukun islam kelima seterusnya dapat menambah kecintaan mereka terhadap agama.
Menurutnya lagi, para pelajar mengikuti pembelajaran tersebut secara praktikal termasuk memakai pakaian ihram bagi pelajar lelaki manakala pelajar perempuan memakai telekung.
“Mereka juga diajar cara-cara mengerjakan ibadah tawaf, tempat wukuf, mengutip batu dan melontar jamrah, Bukit Safa dan Marwah serta kawasan bertahallul,” ujarnya.
Program yang bermula pada pukul 8.00 pagi dan berakhir pukul 11.00 pagi itu dipimpin oleh Imam Masjid Jamek Chukai, Abdul Hadi Salleh yang juga bertindak sebagai mutawif.
-AA-