
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)
ISKANDAR PUTERI, 10 Mei (MalaysiaAktif) – Seramai 50 bakal jemaah haji dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar menerima sumbangan RM1,000 setiap seorang daripada Iskandar Investment Berhad (IIB), termasuk pasangan suami isteri yang terpilih.

Pandak berkata inisiatif ini merupakan satu bentuk keprihatinan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang sangat dihargai, khususnya daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti IIB.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad, berkata sumbangan ini bertujuan meringankan beban kewangan jemaah menjelang keberangkatan ke Tanah Suci Mekah pada tahun ini.
“Sumbangan ini amat besar maknanya buat para jemaah, apatah lagi diberikan pada saat-saat akhir sebelum mereka berangkat.
“Ia sedikit sebanyak mengurangkan beban kewangan dan membuktikan adanya pihak yang sentiasa menyantuni mereka yang terpilih menjadi tetamu Allah,” katanya selepas menyempurnakan majlis penyerahan Bantuan Wakalah Jemaah Haji DUN Kota Iskandar di Dewan EduCity Hub, di sini semalam.
Pandak turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada IIB atas keprihatinan dan sokongan yang diberikan.

Salah seorang penerima bantuan wakalah dari Iskandar Investment Berhard terharu dengan bantuan yang diberikan.
Pasangan jemaah haji, Siti Hariati Ahmad, 51, dan suami Zulkafli Zahal, 62, berkata mereka melahirkan rasa syukur selepas menerima sumbangan RM1,000 daripada IIB.
“Kami sangat terkejut dan bersyukur menerima sumbangan ini beberapa hari sebelum berangkat ke Mekah pada 14 Mei.
“Ia sangat membantu untuk perbelanjaan sepanjang 45 hari di sana,” kata mereka.
Turut hadir Naib Presiden Kanan IIB Azlan Abdul Kadir, Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) Zon Kota Iskandar Yusuf Ahmad dan Penggerak Masjid dan Surau DUN Kota Iskandar Zulkarnain Ibrahim.
-ZS-