
Laporan/foto: Mohammad Hafizee Md Hashim/Muhaimin Musa
KUALA LUMPUR, 20 Mei (MalaysiaAktif) – Anugerah Mahasiswa Inspirasi (AMI) 2025 merupakan inisiatif tahunan yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Rubiah, ketika ditemu bual wartawan.
Selain bertujuan untuk mengiktiraf pencapaian cemerlang mahasiswa Orang Asli dalam bidang akademik, kepimpinan dan pembangunan komuniti AMI 2025 mengiktiraf kecemerlangan mahasiswa Orang Asli dalam pelbagai bidang, meningkatkan motivasi dan semangat juang dalam kalangan pelajar Orang Asli, menyediakan platform untuk perkongsian pengalaman dan pengetahuan antara mahasiswa serta mempromosikan kepimpinan dan peranan aktif mahasiswa dalam pembangunan komuniti.
Dalam ucapan perasmian, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, berkata lebih 400 pelajar Orang Asli telah berjaya melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) pada tahun sebelumnya.
Rubiah menetapkan sasaran untuk meningkatkan jumlah tersebut kepada 500 pelajar pada tahun ini.
“Saya amat yakin bahawa mahasiswa Orang Asli bukan sahaja mampu bersaing dalam bidang akademik malah dalam kepimpinan, keusahawanan, inovasi mahupun pembangunan komuniti,” katanya kelmarin.
Pelaksanaan Program AMI 2025 berlangsung selama tiga hari bermula pada 16 hingga 18 Mei lalu di Swiss-Garden Hotel, Kuala Lumpur.

Rubiah bersama penerina anugerah dan tetamu yang hadir.
Antara aktiviti yang diadakan termasuk sesi suai kenal antara peserta, ceramah motivasi oleh Syamsul Amri Ismail atau Syamsul Debat dengan tajuk ‘Siswa Hebat, Bangsa Berkat’, penerangan mengenai laluan kerjaya dan peluang pendidikan serta majlis penganugerahan kepada mahasiswa cemerlang.
JAKOA komited untuk terus menyediakan akses pendidikan yang inklusif kepada komuniti Orang Asli melalui pemberian biasiswa dan bantuan persekolahan, latihan kerjaya dan pembangunan kemahiran, kerjasama dengan agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
Usaha ini adalah untuk memastikan anak-anak Orang Asli tidak tercicir dan terus maju ke hadapan.
AMI 2025 bukan sekadar majlis penganugerahan tetapi simbol pengiktirafan dan dorongan kepada mahasiswa Orang Asli untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan, ia juga mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan pendidikan yang inklusif dan peluang yang saksama untuk semua lapisan masyarakat.
-ZS-