
Laporan/foto: Lina Shukri/Mohammad Ezwandi (Perak)
IPOH, 28 Mei (MalaysiaAktif) – Arif Rafiqi Shahrul Nizam, 19, anak kelahiran Manjung berjaya merangkul Anugerah Pelajar Harapan sempena Majlis Apresiasi Kecemerlangan Pelajar Program Asasi Teknologi Kejuruteraan Politeknik Ungku Omar (PUO), Meru, atas pencapaian beliau dalam bidang akademik dan sahsiah yang cemerlang, di sini, kelmarin.

Arif ketika berucap mewakili pelajar
Anak kedua daripada tiga adik-beradik itu tidak menyangka akan menerima anugerah tersebut memandangkan persaingan yang sengit dalam kalangan rakan seperjuangan.
“Saya tidak sangka akan menerima anugerah ini kerana rakan pelajar lain turut cemerlang dan aktif dari segi akademik mahupun kokurikulum,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Arif yang juga Setiausaha Exco Asasi Teknologi Kejuruteraan, melibatkan diri secara aktif dalam pelbagai program serta pertandingan di peringkat institusi, kebangsaan dan antarabangsa sepanjang di PUO.
Antaranya, penyertaan dalam International Mathematical Olympiad, Kangaroo Math Competition, Sukan Asasi Malaysia dan pelbagai pertandingan inovasi.
“Anugerah Pelajar Harapan ini amat bermakna buat saya kerana ia bukan sekadar satu pencapaian peribadi tetapi juga melambangkan usaha gigih dan semangat yang tidak pernah hilang sepanjang saya menuntut ilmu di sini.
“Saya berharap agar kejayaan ini dapat menjadi inspirasi kepada semua untuk terus berusaha dan semoga anugerah ini menjadi pemangkin semangat untuk saya terus menyumbang kepada masyarakat dan negara,” katanya.
-AA-